PESAWAT Norwegian Air Shuttle di landasan Lapangan Terbang Arlanda, Stockholm selepas mendarat dengan selamat susulan ancaman bom. FOTO/AFP
PESAWAT Norwegian Air Shuttle di landasan Lapangan Terbang Arlanda, Stockholm selepas mendarat dengan selamat susulan ancaman bom. FOTO/AFP
AFP

STOCKHOLM: Pesawat Norwegian Air Shuttle yang dalam perjalanan ke bandar Perancis di Nice kembali semula ke bandar Sweden di sini selepas menerima ancaman bom sejurus berlepas hari ini, kata syarikat penerbangan itu.

“Norwegian mengesahkan ancaman bom dikeluarkan terhadap penerbangan DY4321 dari Arlanda ke Nice,” katanya dalam kenyataan namun tidak memberi butiran lain.

Jurucakap polis di sini, Towe Hagg memberitahu AFP, polis tempatan dan sempadan serta unit taktikal ‘bekerja aktif di Arlanda untuk mengumpul maklumat, susulan dan mengambil langkah perlu.’

Seorang pelancong di Lapangan Terbang Arlanda, Pertti Arnberg memberitahu akhbar harian Expressen, pesawat itu diparkir di hujung landasan, dikelilingi kenderaan kecemasan dengan lampu biru berkelip-kelip.

Pesawat berlepas jam 10.09 pagi waktu tempatan dan mendarat semula di lapangan terbang sekitar 11.15 pagi.

Pusat Penyelaras Kecemasan Bersama Sweden untuk menyelamat air dan udara dimaklumkan mengenai ancaman bom kira-kira 30 minit ketika penerbangan berkata, 169 penumpang berada dalam pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:10 PM