KEADAAN banjir di Kurashiki, Jepun. FOTO Reuters
KEADAAN banjir di Kurashiki, Jepun. FOTO Reuters
Reuters

JUMLAH kematian akibat hujan lebat dan tanah runtuh di barat Jepun meningkat 81 orang hari ini dengan puluhan masih hilang selepas lebih 2,000 orang yang terkandas di Kurashiki diselamatkan.

Seramai 58 dilaporkan masih hilang, lapor badan penyiar rasmi NHK, manakala hujan lebat dijangka melanda beberapa kawasan sekurang-kurangnya untuk sehari lagi.

Hujan mengakibatkan tanah runtuh selain air sungai melimpah menyebabkan ramai orang terperangkap dalam rumah, malah ada juga yang terpaksa berlindung atas bumbung.

Arahan berpindah masih kekal untuk lebih 2 juta orang, selain amaran tanah runtuh dikeluarkan di beberapa wilayah.

Di barat Jepun yang terjejas teruk, pasukan kecemasan dan tentera menggunakan helikopter serta bot untuk menyelamatkan orang ramai dari sungai yang dinaiki air serta pelbagai bangunan termasuk sebuah hospital.

Puluhan kakitangan dan pesakit, ramai memakai baju tidur, diselamatkan dari Hospital Mabi Memorial yang terpencil menaiki bot didayung anggota Pasukan Pertahanan Diri Jepun.

Seorang pegawai bandar itu berkata, 170 pesakit dan kakitangan dipindahkan, manakala penyiar rasmi NHK melaporkan kira-kira 80 orang masih terperangkap.

Pesakit, Shigeyuki Asano, 79, berkata: “Saya berterima kasih kepada penyelamat. Saya begitu lega dapat keluar dari tempat gelap dan busuk itu.”

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemui mati selepas kediamannya ditimbus tanah runtuh. Dua beradik perempuan dari sekolah rendah yang cuma mempunyai enam murid di pulau Nuwa, wilayah Ehime, juga antara yang dilaporkan mati.

Sementara itu, Perdana Menteri Shinzo Abe berkata: “Masih ramai yang hilang dan memerlukan bantuan. Kami kini mengejar masa.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 9:59 PM