Kuala Lumpur: Petronas dijangka memperuntukkan perbelanjaan modal lebih besar tahun depan dengan komitmen dividen lebih rendah iaitu RM32 bilion yang akan dibayar kepada kerajaan pada 2024, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis Kenanga Research, Lim Sin Kiat berkata, Petronas sebelum ini mengumumkan akan membayar RM40 bilion dividen kepada kerajaan tahun ini dan pihaknya percaya aliran tunai syarikat minyak serta gas nasional itu lebih daripada mencukupi untuk menampung dividen dan perbelanjaan modal.

Beliau berkata, menuju ke 2024, pihaknya menjangkakan dividen lebih rendah sedikit berbanding RM40 bilion dan akan memberi ruang tambahan kepada Petronas untuk meningkatkan perbelanjaannya hampir kepada RM60 bilion.

"Selagi harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$75 setong, syarikat minyak dan gas itu sedia untuk meningkatkan perbelanjaan modalnya (capex) kepada sekitar RM60 bilion dalam tahun kewangan 2024.

"Dari 2020 hingga 2022, kumpulan merekodkan perbelanjaan modal jauh lebih rendah dengan purata RM38 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Laporan Tinjauan dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Oktober lalu menyatakan dividen tahunan daripada Petronas dijangka lebih rendah, RM32 bilion pada 2024.

Sementara itu, penganalisis Maybank Investment Bank, Jeremie Yap, berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya setiap tahun, Petronas perlu memutuskan kaedah mencapai keseimbangan antara tiga keputusan utama iaitu perbelanjaan modal, komitmen dividen dan mengurus lembaran imbangan.

Beliau berkata, dengan komitmen dividen lebih rendah sebanyak RM32 bilion untuk 2024 meskipun jangkaan purata harga minyak mentah Brent lebih tinggi sebanyak AS$85 setong (unjuran Petronas), pihaknya melihat kemungkinan perbelanjaan modal syarikat minyak negara itu akan kukuh tahun depan.

"Pada akhir September 2023, Petronas berada pada kedudukan tunai bersih RM96.7 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, KAF Research berkata, dividen RM40 bilion yang akan dibayar Petronas kepada kerajaan tahun ini adalah RM5 bilion lebih tinggi berbanding sasaran awal RM35 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Justeru, pihaknya menjangkakan tiada lagi permintaan dana tambahan menjelang akhir 2023.

Tambahan lagi, katanya, kerajaan juga berusaha mengurangkan pergantungan kepada dividen Petronas sebagai pendapatan sumber utama.

"Namun, jika ada (permintaan dana tambahan), kami percaya Petronas mempunyai keupayaan mencukupi memenuhi permintaan dividen tambahan, memandangkan penjanaan aliran tunainya yang mantap RM76 bilion dan baki tunai bersih RM96.7 bilion," katanya.

Petronas mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM23.9 bilion suku ketiga berakhir 30 September 2023, merosot 22.4 peratus berbanding RM30.8 bilion suku sama 2022.

Pendapatannya juga merosot 16.2 peratus kepada RM82.9 bilion pada suku dikaji berbanding RM98.9 bilion dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 7:47 AM