MALAYSIA mencatat RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri primer. FOTO Arkib NSTP
MALAYSIA mencatat RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri primer. FOTO Arkib NSTP
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) komited membawa lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi yang akan memanfaatkan rakyat dan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, baru-baru ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengumumkan prestasi memberangsangkan Malaysia pada separuh tahun pertama 2021 (1H 2021) dengan pelaburan langsung asing (FDI) melonjak 223.1 peratus berbanding 1H 2020.

"Ini mencerminkan keyakinan pelabur asing mengenai situasi semasa ekonomi negara serta ekosistem perniagaan yang stabil dan kondusif.

"Prestasi luar biasa ini membuktikan strategi meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dan hab rantaian bekalan di Asean terutama bagi sektor pembuatan menunjukkan hasil positif," katanya dalam Laporan Laksana ke-68, semalam.

Menurutnya, aliran masuk FDI ini memacu prestasi sektor berkenaan yang menunjukkan pencapaian kukuh dan rancak sepanjang tempoh ini serta mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM58.2 bilion.

Katanya, RM8.7 bilion pelaburan diluluskan melalui sumber dalam negeri.

"Dari segi jumlah pelaburan diluluskan, Malaysia mencatat RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri primer.

"Ini digambarkan melalui peningkatan 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Pelaburan diluluskan membabitkan 2,110 projek dan dijangka menghasilkan 44,994 peluang pekerjaan di negara ini," katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebagai contoh, Porsche AG memilih Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di luar Eropah yang mencerminkan kepercayaan syarikat antarabangsa itu terhadap ekosistem automotif negara yang kondusif.

"Inisiatif strategik seperti pemberian insentif cukai 0 peratus selama 15 tahun bagi syarikat yang membuat pelaburan harta tetap sebanyak RM500 juta ke atas, penubuhan Project Acceleration and Coordination Unit (Pacu) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bagi mempercepatkan pelaksanaan serta penyelarasan projek dan lain-lain inisiatif diperkenalkan sejak Pakej Penjana tahun lalu turut menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

"Di sebalik landskap ekonomi global yang mencabar dengan penularan wabak Covid-19, Porsche menyatakan keyakinan kepada Malaysia sebagai pintu masuk utamanya ke pasaran Asean dengan menjadikan Kedah lokasi kilang pemasangan pertama luar Eropah selepas lebih dari 70 tahun.

"Hab pembuatan automotif Malaysia dianggap langkah strategik oleh Porsche menandakan komitmennya memperkukuhkan kehadiran jangka masa panjang di Asean serta mencerminkan kepercayaan Porsche terhadap kepakaran negara menjadikan Malaysia terus kukuh sebagai hab pembuatan pilihan bagi Original Equipment Manufacturers (OEM) antarabangsa," katanya.

Menurutnya, kemudahan pemasangan Porsche di luar Eropah yang pertama ini akan ditubuhkan di Kulim, Kedah tahun hadapan menerusi kerjasama dengan Sime Darby Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 7:10 AM