SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

KUALA LUMPUR: Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan dilaksanakan mulai Januari 2020 adalah inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah melalui pembiayaan sebahagian kos penggunaan petrol kepada golongan berpendapatan rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui PSP ini, bantuan subsidi akan terus disalurkan kepada golongan sasar yang terdiri daripada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk

mengurangkan perbelanjaan petrol mereka.

“Penerima BSH perlu memenuhi kriteria pemilikan kenderaan yang telah ditetapkan iaitu kereta 1600cc dan ke bawah atau kereta melebihi 1600cc yang berusia 10 tahun dan ke atas.

“Manakala kategori motosikal yang layak pula ialah motosikal 150cc dan ke bawah dan serta motosikal melebihi 150cc yang berusia tujuh tahun dan ke atas,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, melalui PSP bantuan tunai akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali dengan kadar subsidi ialah RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan (motosikal).

“Seramai 2.86 juta penerima dijangka mendapat manfaat daripada program ini.

“Orang ramai boleh membuat semakan kelayakan atau mendapat maklumat lanjut mengenai program ini melalui psp.kpdnhep.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 10:29 AM