MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk  Darell Leiking (dua dari kiri) bersama Nicole (dua dari kanan) semasa pelancaran program Made by Malaysia, Loved by the World pada September tahun lalu.
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking (dua dari kiri) bersama Nicole (dua dari kanan) semasa pelancaran program Made by Malaysia, Loved by the World pada September tahun lalu.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Facebook Malaysia komited untuk mengembangkan pelaburan tempatan dan membantu mempercepat transformasi digital negara melalui usaha tiga serampang.

Pengarah negara Facebook Nicole Tan berkata, inisiatif itu termasuk program Made by Malaysia, Loved by the World (Buatan Malaysia, Disukai Dunia), yang dianjurkan oleh Facebook, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan platform perdagangan sosial, AVANA.

“Program ini membantu memperkasakan lebih daripada 1,000 perniagaan di tujuh bandar raya di Malaysia dan menyediakan mereka keupayaan dalam talian bagi pertumbuhan di luar sempadan Malaysia.

“Ini adalah program yang pertama seumpamanya di Asean yang disasarkan untuk membabitkan 1,000 lagi perniagaan menjelang akhir 2019,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, Facebook Malaysia juga bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan tempatan untuk menyokong usaha kerajaan Malaysia meningkatkan infrastruktur digital negara dengan pelancaran perintis pasaran Terragraph berskala besar pertama di Georgetown, Pulau Pinang.

“Kami meningkatkan percubaan teknologi Terragraph di Malaysia dengan kerjasama penyedia perkhidmatan tempatan yang lain, termasuk penyediaan WiFi, akses tanpa wayar tetap serta aplikasi dan perkhidmatan bandar pintar.

“Percubaan yang akan datang ini akan berlangsung di Cyberjaya,” katanya.

Menurutnya, Program Facebook Community Leadership Circle akan dilancarkan pada akhir tahun untuk memperkasakan dan menyokong pemimpin komuniti Facebook yang memupuk dan mengukuhkan Kumpulan Facebook yang mencatatkan lebih daripada 1.4 bilion pengguna setiap bulan.

“Malaysia penting kepada Facebook dengan lebih 23 juta rakyat Malaysia di platform itu setiap bulan, berhubung dengan keluarga, rakan, perniagaan dan komuniti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 9:10 AM