POPULAR Mega Bookfair kali ke-12  berlangsung pada 30 November hingga 9 Disember ini di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru.
POPULAR Mega Bookfair kali ke-12 berlangsung pada 30 November hingga 9 Disember ini di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Popular Book Co. (M) Sdn Bhd (Popular Malaysia) bakal menganjurkan Popular Mega Bookfair buat kali ke-12 berturut-turut di Johor bertempat di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru pada 30 November hingga 9 Disember ini.

Pesta buku ini bukan saja menawarkan bacaan dalam Inggeris, Cina dan Melayu, malah pelbagai alat tulis, cakera padat, cakera video digital, gajet dan peralatan teknologi maklumat (IT) pada harga menakjubkan.

Popular Malaysia berkata, pada kali ini acara terbabit akan diadakan buat kali pertama di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru bagi memberi pengalaman yang baru kepada semua pengunjung di kawasan terbabit.

“Oleh itu, kami menyeru orang ramai untuk berkunjung ke acara ini kerana ia memberi banyak tawaran dan aktiviti menarik bagi semua golongan,” katanya pada kenyataan di sini, semalam.

Syarikat itu berkata, antara tawaran menarik bakal dinikmati pengunjung adalah hari ahli pada 30 November ini yang membolehkan pemegang kad ahli Popular mendapat keistimewaan dalam menikmati pelbagai ganjaran termasuk beg kitar semula boleh dilipat dan baucar bernilai RM5 untuk ditebus.

“Kami juga menawarkan ganjaran kepada ahli berupa tawaran menarik bagi barangan terpilih termasuk buku, alat tulis dan gajet,” katanya.

Dalam masa sama, pengunjung juga berpeluang menikmati ganjaran lain seperti harga istimewa bagi lebih 120 produk terpilih, pembelian dengan pembelian dan pemberian baucer bernilai RM20 bagi setiap pembelian minimum RM150 dalam satu resit.

Popular Malaysia berkata, Popular Mega Bookfair menganjurkan sesi interaktif membabitkan penulis buku antarabangsa seperti Dr Wong Seng Weng dan Lan Qi Zuo Ren serta penulis tempatan seperti Peter Lam, Faiz Ibrahim dan Black Jellyfish.

“Selain itu, terdapat penganjuran aktiviti menarik seperti kuiz, pertandingan mewarna, bercerita dan kaligrafi serta pelbagai bengkel seperti rekaan baju-T dan sabun buatan sendiri,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.popular.com.my atau laman Facebook Popular Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 4:30 AM