FALCAO dilaporkan bakal disambar JDT dengan kontrak dua musim.
FALCAO dilaporkan bakal disambar JDT dengan kontrak dua musim.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perkhabaran penyerang Colombia Radamel Falcao menyertai keluarga Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan kedua kelak kemungkinan besar boleh menjadi kenyataan.

Pengendali JDT Estaban Solari berkata, skuad Harimau Selatan adalah pasukan yang besar sekali gus mungkin tiada masalah untuk membawa masuk pemain berprofil tinggi itu.

Beliau berkata, sekarang hanya menunggu keputusan daripada bos besar iaitu pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi merealisasikan matlamat terbabit dalam memperkukuhkan pasukan.

"Kita tahu kemungkinan itu ada dan bos sedang melihat perkara itu menerusi kerjasama dengan pihak tertentu. Seperti sedia maklum JDT adalah kelab besar seterusnya mengetahui peluang yang ada di luar.

"Pada masa sama, kita akan menunggu perkara itu (kemasukan Falcao) dan saya tidak boleh bercakap lebih lanjut kerana mahu menunggu bos membuat keputusan," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Falcao bersedia menyertai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kontrak Falcao bersama kelab, Rayo Vallecano bakal berakhir pada Jun ini dan menurut laporan media itu, dia bersedia mencuba cabaran baharu bersama JDT.

Media Sepanyol, Marca mendakwa Falcao sedang menilai tawaran bagi menandatangani kontrak bersama JDT.

Seandainya bekas penyerang Manchester United dan Chelsea itu sah menandatangani kontrak bersama JDT, dia akan menjadi pemain berprofil tinggi kedua yang menyertai Harimau Selatan selepas Pablo Aimar pada 2013.

Falcao mula beraksi bersama Rayo Vallecano sejak musim 2021 selain turut pernah menyarung jersi kelab Turki, Galatasaray selama dua musim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 3:04 PM