PAN-GON menjawab soalan ketika sidang media pada latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN.
PAN-GON menjawab soalan ketika sidang media pada latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN.
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya agak 'suram' apabila hanya 17 daripada 30 pemain melaporkan diri di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

'Kehilangan' hampir separuh pemain itu berikutan 11 tonggak yang beraksi untuk Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di final Piala Malaysia, Sabtu lalu, hanya akan menyertai skuad Harimau Malaya pada 5 Disember ini selepas mereka mendapat pelepasan.

Namun, pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon memaklumkan dua pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Declan Lambert dan Akram Mahinan tidak dapat menyertai pasukan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima surat daripada KL City yang memohon pelepasan dua pemain itu kerana urusan peribadi.

"Hanya 17 pemain yang tiba dan kami akan dapat mengumpulkan senarai penuh pada Isnin ini.

"Saya berada di Malaysia, jadi saya kena terima situasi ini dan akan cuba sehabis baik," katanya.

Sebelum ini, 11 pemain JDT dan Nor Azam Azih (Sri Pahang) tidak dapat menyertai kem latihan negara atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.

Pemain JDT itu adalah Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shio Hong Wan dan Natxo Insa.

Harimau Malaya akan beraksi dalam persahabatan antarabangsa menentang Kemboja pada 9 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dan bertemu Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 14 Disember ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, perkembangan itu tidak memberi kesan besar kepada persiapan pasukan.

"Berikutan ketiadaan Akram dan Declan, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 28 pemain lain termasuk seorang pemain dari senarai bersedia iaitu pertahanan kiri Selangor FC, Fazly Mazlan.

"Penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim (akan lapor diri) pada 6 Disember selepas selesai kem latihan pusat bersama skuad B-23 dan pemain FK Jablonec, Dion Cools pada 16 Disember," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 7:50 PM