KOKE alami kecederaan.
KOKE alami kecederaan.
Agensi

Madrid: Atletico Madrid mungkin beraksi tanpa kapten Koke untuk aksi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Manchester United awal pagi Khamis ini.

Media di Sepanyol melaporkan tonggak tengah itu mengalami kecederaan ketika menewaskan Osasuna 3-0 kelmarin dan terlepas sesi latihan semalam.

Koke, 30, bermain dalam kesemua enam perlawanan peringkat kumpulan Atletico musim ini dan bintang Sepanyol yang mempunyai 61 kap itu tidak pernah terlepas aksi Liga Juara-Juara sejak November 2018.

Atletico akan memantau tahap kecergasan Koke dan jika gagal pulih, menyukarkan lagi situasi skuad Diego Simeone.

Pengendali dari Argentina itu berdepan masalah pemilihan pemain menjelang aksi peringkat pertama di Wanda Metropolitano selepas Matheus Cunha dan Daniel Wass turut diketepikan.

Thomas Lemar dan Benjamin Lecomte pula belum pasti diturunkan selepas tersisih sesi latihan kelmarin manakala Yannick Carrasco serta Felipe menjalani penggantungan.

Juara bertahan LaLiga, Atletico kini berdepan musim sukar apabila menduduki tangga kelima dengan 15 mata di belakang Real Madrid dan tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 9:25 AM