Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Jordan Mintah memberitahu dia tidak kisah sama ada disenaraikan dalam pasukan Terengganu FC (TFC) ataupun skuad 'adik', Terengganu FC II (TFC II) dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain kelahiran Ghana berusia 27 tahun itu berkata, sebagai pemain profesional, tugasnya adalah bekerja untuk majikan bagi memastikan sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan berhasil.

Bagaimanapun pemain berketinggian 1.84 meter itu yang sebelum ini dikatakan merajuk sedia beraksi dalam skuad utama kendalian Nafuzi Zain jika diberi peluang.

"Impian saya adalah untuk bermain dengan pasukan utama musim ini, namun ianya bukan keputusan saya, terpulang kepada barisan jurulatih untuk menyenaraikan beraksi bersama pasukan TFC atau TFC II kerana kedua-dua pasukan sudah tentu saya boleh bermain.

"Kini saya tidak mahu memikirkan perkara itu, sebaliknya terus bekerja keras dan menjalani latihan dengan kedua-dua pasukan, lagipun saya tidak ada masalah beraksi bersama rakan sepasukan dalam mana-mana pasukan.

"Di mana jurulatih letak, saya akan bermain bersungguh-sungguh dan berikan persembahan 100 peratus kerana itu adalah tanggungjawab yang harus dipikul, lagipun saya sudah bersedia sepenuhnya jika ditugaskan sebagai penggempur skuad utama," katanya ketika ditemui pada saingan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, minggu lalu.

Ketika ditanya sasaran peribadinya musim ini terutama selepas meledak 16 gol dalam saingan Liga Perdana, empat gol Liga Super dan lima gol saingan Piala Malaysia musim lalu, pemain berusia 27 tahun itu idam untuk sekali lagi muncul penjaring terbanyak musim ini.

"Sasaran saya sudah tentu untuk merakam rekod yang lebih baik berbanding musim lalu dengan sekali lagi muncul penjaring terbanyak sama ada dalam saingan Liga Perdana ataupun Liga Super selain membantu pasukan meraih piala kejuaraan.

"Bagaimanapun ianya bukan sesuatu yang mudah kerana persaingan untuk merebut penjaring terbanyak membabitkan semua pasukan dan bukannya dalam pasukan.

"Tapi dengan kerjasama rakan sepasukan dan bimbingan barisan kejurulatihan, impian itu pasti boleh dicapai kerana saya tidak boleh lakukannya berseorangan," kata Mintah yang sudah tiga musim beraksi dalam pentas Liga M termasuk tahun ini.

Selain Mintah, musim ini Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd merantai dua lagi penyerang berbisa iaitu Kpah Sherman (Liberia) dan pemain kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche sekali gus menyaksikan saingan sengit merebut tempat dalam pasukan TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 12:20 PM