HAMIDIN pada sidang media, hari ini. FOTO Bernama
HAMIDIN pada sidang media, hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Walaupun dicaci dan dikritik hingga didesak untuk melepaskan jawatan namun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak akan 'menekan brek' untuk melepaskan kerusi nombor satu itu.

Ini kerana, Hamidin mempunyai perancangan dan agenda yang belum terlaksana sekali gus mahu terus kekal menyandang jawatan nombor satu di FAM.

Hamidin berkata, penyokong memiliki pandangan mereka yang tersendiri namun pada pendapatnya, beliau akan terus meneruskan amanah yang sudah diberikan oleh ahli gabungan sebelum ini.

"Saya tahu kebanyakan (desakan) datang daripada netizen tetapi mereka ada pendapat sendiri dan saya pun ada pendapat saya sendiri. Saya menghormati pandangan mereka dan saya membaca kritikan membina yang diberikan.

"Serangan peribadi, saya biarkan kerana ini adalah lumrah. Saya baru sahaja mendapat mandat dan banyak perkara yang saya akan buat bagi memastikan skuad Harimau Malaya kembali mengaum," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hamidin tidak mengganggap misi F:30 'memakan diri' FAM sekiranya apa yang direncanakan badan induk itu tidak menjadi khususnya selepas gagal mencapai sasaran yang diletakkan kepada skuad kebangsaan.

Tegasnya, semua pihak perlu memahami kekangan Covid-19 yang berlanjutan hingga memasuki dua tahun ketika ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan sekali gus memaksa mereka memperbaiki mana-mana aspek yang diperlukan.

"Sasaran kita sampai 2030. Kita ada lagi kelayakan selepas ini dan kita tidak mahu tunggu. Kalau kita gagal, kita kena buat penambaikan yang selari dengan pelan F:30 itu.

"Pengarah Teknikal akan menyiapkan rumusan F:30 untuk menambahbaik beberapa perkara bagi masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 4:09 PM