VAN Gaal (belakang) menggunakan buggy ketika sesi latihan Belanda.
VAN Gaal (belakang) menggunakan buggy ketika sesi latihan Belanda.
Agensi

Rotterdam: Ketua jurulatih Belanda, Louis van Gaal menegaskan otaknya masih berfungsi susulan nahas membabitkan basikal yang menyebabkan dia kini terpaksa menggunakan kerusi roda.

Van Gaal berdepan kecederaan pinggul selepas terjatuh daripada basikalnya kelmarin dan memantau sesi latihan menggunakan kenderaan buggy menjelang aksi penting menentang Norway dalam saingan kelayakan Piala Dunia awal pagi esok.

Belanda memerlukan sekurang-kurangnya seri pada perlawanan penentuan Kumpulan G untuk mengesahkan tempat ke Qatar tahun depan.

Van Gaal yang mengendalikan pasukannya menentang Norway di Rotterdam menegaskan otaknya tak terjejas susulan kemalangan itu.

"Secara fizikalnya, saya teruk tetapi otak saya masih berfungsi,'' kata bekas pengurus Manchester United, Bayern Munich dan Barcelona itu kepada wartawan menerusi sidang video.

Ketika ditanya tahap kecederaannya, Van Gaal membalas: "Ya banyak. Itu sebabnya saya menggunakan kerusi roda dan mengawasi sesi latihan dengan menaiki buggy.''

Belanda terlepas peluang meraih tiket automatik ke Piala Dunia 2022 selepas Montenegro mempamerkan kebangkitan lewat untuk meraih keputusan seri 2-2 pada Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 2:28 PM