AGUERO turut menarik minat Barca dan Inter Milan. FOTO Agensi
AGUERO turut menarik minat Barca dan Inter Milan. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester United berusaha mendapatkan khidmat Sergio Aguero menerusi perpindahan percuma dari Man City, menurut laporan hari ini.

Penyerang Argentina berusia 32 tahun itu bakal meninggallkan Etihad pada Jun depan apabila kontraknya tamat dan kini menjadi rebutan beberapa kelab.

SunSport mendedahkan gergasi LaLiga, Barcelona dijangka mencuba habis-habisan untuk membawa legenda City itu ke Camp Nou.

Inter Milan turut tidak ketinggalan bersaing mendapatkan penyerang veteran itu ke Itali.

Media Perancis, Foot Mercato mendakwa Aguero mungkin kekal di England selepas United dan Chelsea membuat tawaran kepadanya.

Mereka juga mendakwa PSG berminat ke atas Aguero dengan rakan senegara, Mauricio Pochettino dan pengurusan Parc des Princes terdesak mendapatkan khidmatnya untuk menambah pilihan di bahagian serangan.

Laporan turut menyebut lima kelab setakat ini membuat tawaran kepada Aguero ketika dia bakal menentukan masa depannya selepas sedekad yang cemerlang bersama City.

Dia muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman City dengan 257 gol dalam 384 perlawanan. Tetapi hubungannya dengan penyokong City mungkin terjejas jika dia berpindah ke Old Trafford - idea yang kali pertama datangnya dari bekas bintang United, Paul Ince.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 6:40 PM