Sebahagian pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Johor Bahru. FOTO Ihsan FAM
Sebahagian pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Johor Bahru. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas setahun lebih skuad Harimau Malaya tidak berlatih bersama ekoran pandemik Covid-19, anak buah Tan Cheng Hoe kembali menjalani latihan pusat bermula hari ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau berharap latihan ini akan berjalan lancar sekali gus menyiapkan pasukan menjelang baki aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun ini.

"Selepas 16 bulan tidak bersama sejak November 2019, skuad Harimau Malaya akhirnya kembali dapat dikumpulkan untuk kem latihan pusat selama sembilan hari di Johor Bahru bermula hari ini hingga 30 Mac 2021.

"Sudah tentu saya berasa cukup lega dan gembira kerana kita akhirnya dapat berkumpul untuk kem latihan pusat ini sebagai persiapan penting dalam menghadapi baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G.

"Saya berharap agar kem latihan pusat ini berjalan lancar seperti yang dirancang Tan Cheng Hoe dapat meningkatkan lagi persefahaman dan kombinasi para pemain serta meningkatkan tahap dan corak permainan pasukan untuk kita beroleh kejayaan apabila menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun nanti," katanya.

Tambahnya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) yang membenarkan skuad negara menjalani latihan di pusat latihan skuad Harimau Selatan itu.

"Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JDT atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka dengan skuad Harimau Malaya bagi kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini.

"Saya secara peribadi melihat ini sebagai satu lagi sumbangan JDT terhadap bola sepak Malaysia. Selepas membantu meningkatkan profil bola sepak Malaysia melalui pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya, kesudian pihak JDT ini akan membolehkan skuad Harimau Malaya memanfaatkan kemudahan bertaraf dunia.

"Diharap juga ia menjadi contoh kepada kelab-kelab bola sepak tempatan yang lain untuk sama-sama membangunkan pusat latihan mereka dengan kemudahan yang lengkap seperti ini kerana pada akhirnya nanti, sudah pasti ia akan membantu dalam meningkatkan prestasi pemain, sekali gus dapat memajukan lagi tahap bola sepak negara secara keseluruhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 9:55 PM