SOLSKJAER (kiri) mahu menghentikan kemaraan Chelsea. FOTO AFP
SOLSKJAER (kiri) mahu menghentikan kemaraan Chelsea. FOTO AFP
AFP

London: Ole Gunnar Solskjaer percaya perebutan empat kedudukan teratas Liga Perdana sangat sengit menjelang pertemuan Manchester United bertemu Chelsea yang mempamerkan kebangkitan di bawah bimbingan Thomas Tuchel, tengah malam esok.

United terpaksa menyerahkan takhta pendahulu liga kepada Manchester City pada 26 Januari dan dengan hanya melakar dua kemenangan daripada enam perlawanan bermakna, United kini ketinggalan 10 mata di belakang City.

"Chelsea mengekori kami rapat di belakang manakala City jauh di depan," kata Solskjaer.

"Sudah tentu kami tidak boleh menjauhkan diri jika mempunyai impian untuk mengejar mereka dan kami juga tidak boleh memberikan Chelsea harapan untuk mengejar kami."

Solskjaer percaya United tidak begitu konsisten menjelang pertemuan di Stamford Bridge yang menyaksikan Tuchel memberi impak positif sejak menggantikan Frank Lampard bulan lalu.

Chelsea belum pernah tewas sejak di bawah bimbingan pengendali Jerman itu dan mampu merapatkan jurang enam mata dengan United dalam usaha mereka merebut tempat ke Liga Juara-Juara.

"Anda boleh melihat kepada keputusan, statistik dan penguasaan permainan. Mereka membuatkan lawan tidak dapat menjaringkan gol dan terus menguasai permainan.

"Dia (Tuchel) menjalankan tugasnya dengan baik. Bukan mudah membimbing pasukan yang sudah mengharungi separuh musim.

"Harap kami dapat menghentikan kemaraan mereka dan itu adalah tugas saya," kata Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 8:08 AM