HADI Fayyadh akui situasi berkenaan sangat mengejutkan dan menakutkan. FOTO Ihsan IG hadifayyadhh
HADI Fayyadh akui situasi berkenaan sangat mengejutkan dan menakutkan. FOTO Ihsan IG hadifayyadhh
Hadi Fayyadh Abd Razak di Jepun

Selamat Hari Minggu buat semua pembaca Metro Ahad. Saya doakan agar semua yang membaca penulisan ini berada dalam keadaan yang sihat, di jauhkan dari pendemik yang melanda serta diberikan kebahagian bersama keluarga tersayang.

Hari ini mungkin hari yang bersejarah untuk rakyat di Malaysia di mana kumpulan vaksin pertama akan tiba di Malaysia. Saya di maklumkan melalui pembacaan saya bahawa proses vaksinasi akan bermula selepas ketibaan sejumlah vaksin melalui 3 fasa utama.

Fasa 1 yang akan bermula membabitkan sebanyak 500,000 rakyat yang terdiri daripada petugas barisan hadapan kesihatan dan perkhidmatan penting lain.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia di atas permulaan yang baik ini dan saya sentiasa mendoakan supaya semua yang dirancang akan berjalan dengan baik. Vaksin ini akan membawa satu cahaya baru untuk kita keluar dari masalah Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Tidak sabar rasanya untuk saya lihat industri sukan di Malaysia kembali bersinar. Berita gembira ini akan dapat membantu banyak pihak khususnya operator sukan yang mengalami kesusahan sejak wabak ini bermula.

Saya ingin berkongsi pengalaman yang berlaku di sini minggu lalu apabila bencana alam berlaku. Ini kali pertama saya merasa gempa bumi sepanjang hidup saya. Ketika kejadian itu berlaku, saya sedang tidur di bilik dalam jam 11 malam.

Tiba-tiba saya merasakan gegaran yang sangat kuat berlaku di bilik dan semua barang di bilik saya turut bergerak. Ianya sangat mengejutkan dan menakutkan. Saya teringat pesanan Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada supaya lari ke tempat lapang dan terbuka sekiranya berlaku gempa bumi.

Encik Hamada juga berpesan kepada saya supaya menjauhi bangunan dan tiang lampu. Saya terus bangun dan berlari ke tengah padang. Kebetulan rumah yang saya diami berdekatan dengan padang bola.

Saya tunggu di situ bersama orang ramai yang lain sehingga gempa tersebut reda. Ini adalah satu pengalaman yang baru bagi saya dan saya harap jika ianya berlaku lagi selepas ini saya akan lebih bersedia dan lebih peka dengan keselamatan diri.

Kedaan geografi di Jepun yang terletak di dalam zon gunung berapi iaitu di atas Lilitan Gunung Berapi Pasifik menyebabkan Jepun kerap mengalami gegaran bumi berkekuatan rendah dan kadang-kala merasai letusan gunung berapi.

Perkara ini mungkin sudah biasa bagi penduduk di sini. Alhamdulillah, tiada kemusnahan yang teruk berdekatan kediaman yang saya duduki.Saya rasa itu sahajalah catatan saya di sini.

Saya mengharapkan agar kita semua sentiasa mematuhi segala arahan yang di tetapkan oleh pihak Kerajaan khususnya dalam mengekang wabak ini dari terus merebak. Kita jumpa lagi dalam penulisan akan datang. Salam hormat dari saya untuk semua.Terima Kasih, Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 11:58 PM