IVAN Codina.
IVAN Codina.
Syazwan Msar


HANYA dengan memiliki pelan perancangan kewangan kukuh dan sistematik dapat menyelamatkan pasukan supaya tidak terjebak dengan tunggakan gaji sehingga menjadi masalah utama yang sukar ‘dirawat’ sejak puluhan tahun lalu.

Pengarah Urusan La Liga Asia Tenggara Ivan Codina berkata, peraturan kawalan ekonomi yang diamalkan di La Liga boleh menjadi salah satu langkah membendung gejala pasukan berhutang namun ia bergantung kepada mentaliti serta sikap setiap pihak pengurusan.

Katanya, perkara penting adalah setiap pasukan tidak boleh berbelanja daripada kemampuan yang mereka ada serta perlu melakukan pecahan perbelanjaan yang sewajarnya sebelum melihat pada aspek penggajian pemain.

“Setiap pasukan tidak boleh berbelanja daripada apa yang mereka ada kerana ia boleh menjerumuskan mereka kepada kecenderungan untuk tidak membayar gaji pada satu tahap.

“Ada kalanya mereka terpaksa menunggu dua hingga tiga tahun bagi menyelesaikan tunggakan gaji sehingga menjejaskan perancangan kewangan pasukan yang terpalit dengan masalah ini.

“Langkah kawalan ekonomi adalah cara membendung perkara ini daripada menjadi lebih parah dengan semua pasukan perlu menetapkan daripada awal berapa bajet bagi gaji pemain, kos operasi dan pengurusan.

“Semua pasukan perlu bekerjasama serta patuh dalam mengikut ketetapan yang diberikan sekiranya mahu melihat perkara ini dapat dijayakan sepenuhnya, ” katanya, di sini hari ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dijangka memperkenalkan peraturan kawalan ekonomi secara berperingkat mulai tahun depan dalam usaha memastikan semua pasukan tidak berdepan masalah kewangan dengan berbelanja di tahap minima.

Sebagai rekod, kawalan ekonomi yang digunapakai oleh La Liga sejak 2012 terbukti berjaya menghapuskan hutang majikan ke atas pemain.

Selepas peraturan itu diperkenalkan, La Liga berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.

MFL dijangka akan melaksanakan peraturan kawalan ekonomi secara tiga peringkat iaitu dengan langkah pertama iaitu menerangkan implikasi peraturan itu kepada pasukan selain manfaat jangka masa panjang yang akan diperolehi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:37 PM