PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme diasak pemain Terengganu, Chantachery Bin (kiri) pada saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur.
PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme diasak pemain Terengganu, Chantachery Bin (kiri) pada saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur.
Asrol Awang


JENTERA pertahanan Pahang diminta lebih kebal untuk menyekat serangan padu Perak apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Ketajaman serangan The Bos Gaurus sudah terbukti dengan kehadiran dua pemain import baru dari Brazil, Raianderson Morais dan Ronaldo Silva.

Justeru, pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu jentera pertahanan yang diketuai Matthew Davies bijak mengawal pergerakan lawan.

“Saya tidak nampak Pahang menghadapi masalah untuk menewaskan Perak tetapi mereka tidak boleh cuai hingga membenarkan lawan menghasilkan gol.

“Tidak hanya bahagian pertahanan yang perlu kekal fokus, malah jentera tengah dan serangan perlu tampil lebih kreatif untuk membolosi gawang The Bos Gaurus.

“Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri juga sudah pasti Pahang mahukan kemenangan,” katanya.

Pada pusingan pertama di Stadium Perak 24 April lalu, skuad kendalian Dollah Salleh itu mencatat kemenangan 1-0.

Namun, penambahbaikan yang dilakukan The Bos Gaurus dengan menyenaraikan dua import baharu sudah pasti Perak menampilkan corak permainan yang berbeza.

Dalam pada itu juga, Mohammed Suffian mahu pemain Tok Gajah lebih berdisplin kerana ia adalah kunci utama kejayaan bukan sahaja gaya permainan tetapi kerjasama sepanjang 90 minit perlawanan.

“Atas faktor itu, pemain perlu mengikut arahan ketua jurulatih (Dollah) dan tidak sesekali memberi banyak ruang kepada lawan.

“Jika semangat kerja berpasukan dan memahami segala arahan, skuad Pahang mampu untuk merekodkan kemenangan apabila berdepan Perak esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 6:36 PM