Aksi Nur Syazwani pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia baru-baru ini. FOTO NSTP.
Aksi Nur Syazwani pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia baru-baru ini. FOTO NSTP.
Meor Riduwan Meor Ahmad


ATLET boling elit negara, Nur Syazwani Sahar enggan lagi mengenang kekecewaan di Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-41 baru-baru ini.

Sebaliknya, dia menyasarkan Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Singapura ke-51 dan Jelajah Boling Eropah (EBT) di Madrid, Sepanyol, pada Jun dan Julai depan untuk melakukan kebangkitan.

"Saya berazam tidak lagi mensia-siakan peluang seperti di Terbuka Malaysia sebelum ini. Pencapaian di Terbuka Malaysia membuatkan kekuatan mental dan fizikal lebih tinggi.

"Saya yakin boleh meraih pencapaian yang lebih baik di Terbuka Singapura dan Jelajah Boling Eropah," kata pemenang pingat emas kategori beregu di Kejohanan Boling Tenpin Remaja Asia 2019 itu.

Pada Terbuka Malaysia 2019, Nur Syazwani menampilkan permainan mantap apabila mengungguli pusingan pertama kategori wanita dengan mengumpul 1,828 jatuhan pin.

Namun, di pusingan kedua persembahannya sedikit menurun dan berakhir di tempat keempat di belakang Charlene Lim yang muncul juara, Sin Li Jane dan Sung Gyong-eun.

Sementara itu, Nur Syazwani yang juga juara acara All-Events wanita Kejohanan Boling Remaja Dunia 2018 Amerika Syarikat, turut mengimpikan terpilih ke Sukan SEA biarpun sedar persaingan sengit daripada elit boling lain.

"Saya berharap hasrat untuk menyertai Sukan SEA buat pertama kali tahun ini tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 10:35 PM