DANIAL (duduk dua dari kiri) mahu balas kepercayaan Kim Swee.
DANIAL (duduk dua dari kiri) mahu balas kepercayaan Kim Swee.
Firdaus Hashim


PEMAIN tengah Kelantan, Muhammad Danial Haqim Draman sedia membalas kepercayaan Datuk Ong Kim Swee apabila dijangka mengisi posisi tengah untuk aksi pertama berdepan Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh, malam ini.

Mengakui tugas sukar bakal digalasnya selepas ketiadaan beberapa tonggak utama yang tidak bersama pasukan di saingan Piala LG B-22 AFF kali ini, ia seolah-olah membuka pintu buat Danial untuk memperagakan aksi terbaiknya bersama skuad negara.

"Ini peluang untuk saya buktikan kemampuan diri dan kalau boleh saya mahu terus kekal dengan pasukan hingga kelayakan AFC B-23 bulan depan," katanya.

Sebelum ini, Kim Swee menerima tamparan hebat apabila gagal mendapatkan khidmat empat tonggak tengah yang tidak dilepaskan kelab masing-masing iaitu Muhammad Daniel Amier Norhisham (Felda United), Muhammad Zahril Azri Zabri (Felda United), Muhammad Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah).

Malah, kecederaan lutut dialami Nik Akif Syahiran Nik Mat turut menjejaskan perancangan pasukan dan Danial satu-satunya pemain 'neutral' di posisi tengah untuk pasukan.

"Walaupun tanpa Daniel Amir, Fadzrul dan Faizal, tapi kita kena yakin pada pasukan sendiri kerana tetap ada kualiti.

"Malah, walaupun Nik Akif makin pulih, saya akan buat yang terbaik dan cuba bantu pasukan cari kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 12:14 PM