PERLAWANAN antara Terengganu FC (TFC) dengan Felcra FC. Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti (gambar kecil) mahu menjadi juara kumpulan. Foto NSTP & BERNAMA
PERLAWANAN antara Terengganu FC (TFC) dengan Felcra FC. Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti (gambar kecil) mahu menjadi juara kumpulan. Foto NSTP & BERNAMA
Malik Muhamad


SELEPAS muncul pasukan pertama daripada Kumpulan A melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia, skuad Terengganu FC (TFC) berazam untuk muncul juara kumpulan dengan baki dua perlawanan bertemu Perak dan Kuala Lumpur.

Ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kejayaan meratah pasukan FELCRA FC dalam aksi pusingan kedua Sabtu lalu menyuntik semangat pemainnya untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah.

“Selepas berjaya mengesahkan kedudukan ke peringkat suku akhir, kami bertekad untuk menjuarai peringkat kumpulan selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah biarpun masih mempunyai dua perlawanan lagi.

“Pada peringkat suku akhir nanti kita tidak mahu memikirkan pasukan mana yang bakal ditentang sama ada FELDA United yang kini mendahului Kumpulan B atau Melaka United, PKNS FC dan PDRM, kerana kita mahu menamatkan saingan di peringkat kumpulan terlebih dulu,” katanya.

Sabtu lalu, TFC mudah menundukkan FELCRA 4-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur selepas terikat 2-2 dalam aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Irfan Bakti berkata, kejayaan merantai pergerakan lawan menjadi kunci utama kejayaan pasukannya menumbangkan naib juara Liga Perdana berkenaan biarpun ketinggalan dengan jaringan awal pada minit ketiga perlawanan.

“Selain itu, kehadiran semula tonggak tengah pasukan, Lee Tuck yang digantung satu perlawanan sebelum ini bagaikan membakar semangat pemain lain untuk beraksi lebih baik.

“Bagaimanapun timbul sedikit keresahan jika pemain lain terlalu bergantung kepada Tuck kerana pada bila-bila masa saja dia boleh mengalami kecederaan ataupun dilayangkan kad, justeru saya tuntut pemain lain mampu beraksi baik sekiranya dia tidak disenaraikan,” katanya.

TFC kini mendahului carta kumpulan dengan 10 mata diikuti Perak (tujuh), Kuala Lumpur (tiga) dan FELCRA FC (dua).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 4:02 PM