KAPTEN Manchester United, Paul Pogba. FOTO Reuters
KAPTEN Manchester United, Paul Pogba. FOTO Reuters
AFP

BIGHTON, United Kingdom: Kapten Manchester United Paul Pogba mengakui pasukannya tidak mempunyai sikap yang diperlukan apabila tewas 2-3 kepada Brighton susulan aksi pertahanan yang kucar-kacir. 

Buat kali pertama dalam tempoh hampir dua tahun, skuad Jose Mourinho bolos lebih daripada dua kali dengan ketiga-tiga gol Brighton hadir sebelum tamat separuh masa pertama menerusi Glenn Murray, Shane Duffy dan penalti Pascal Gross.

“Mereka lebih bernafsu daripada kita. Saya salahkan diri terlebih dahulu. Saya tidak mempunyai sikap yang sewajarnya. Kami membuat kesilapan yang tidak sepatutnya,” kata Pogba, yang meledak penalti pada minit terakhir namun sudah terlambat untuk menyelamatkan pasukan.

Pengurus United, Mourinho memberi amaran akan musim yang ‘sukar’ di mana beliau tidak mendapat sokongan pada musim perpindahan sebelum tarikh akhir buat Liga Perdana Inggeris tamat pada minggu pertama liga.

Mengukuhkan benteng pertahanan menjadi keutamaan Mourinho dan ia terbukti apabila Victor Lindelof dan Eric Bailly berdepan detik sukar ketika perlawanan itu.

“Kami dihukum akibat kesilapan yang kami lakukan. Bagi saya itulah kisah perlawanan ini,” kata Mourinho.

“Kami melakukan kesilapan yang menakjubkan pada detik yang penting. Kesilapan yang membunuh kami.”

Romelu Lukaku kembali menghidupkan harapan United untuk menjadikan kedudukan 2-1 namun keadaan tidak banyak berubah pada separuh masa kedua sehinggalah penalti Pogba.

Keputusan itu meletakkan United ketinggalan tiga mata berbanding juara bertahan Manchester City, Chelsea dan Tottenham selepas dua perlawanan pertama musim ini.

"Saya sedar anda tidak selalunya bermain dengan cemerlang,” kata Pogba. “Namun kami perlu mempunyai sikap yang bagus dan kami kehilangan semua itu.”– AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 8:18 AM