NAFIIZWAN Adnan.
NAFIIZWAN Adnan.
Devinder Singh

Kuala Lumpur: Hajat Nafiizwan Adnan untuk meraih gelaran ke-11, Jelajah PSA musnah di tangan Borja Golan apabila tewas di tangan pemain Sepanyol itu pada aksi akhir skuasy Terbuka Montreal, semalam.

Pilihan utama, Golan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Nafiizwan yang juga pilihan keenam kejohanan dengan 9-11, 11-4, 11-9, 11-6.

Bagaimanapun, jaguh nombor satu negara itu masih boleh mengharapkan peningkatan ranking dunia selepas terlepas aksi Terbuka Malaysia dan Kejuaraan Dunia atas pelbagai alasan.

Sementara itu, Siri Jelajah Malaysia keenam yang akan berlangsung di Pusat Skuasy Nasional bermula esok berjaya menarik penyertaan pemenang pingat emas Sukan Asia 2014, Abdullah Al Muzayen.

Bintang Kuwait itu yang melakar kejutan di Incheon empat tahun lalu, akan menentang wakil Malaysia, Ryan Rasqual pada pusingan kelayakan pertama.

Al Muzayen, 30, kini menghuni ranking ke-146 dunia gara-gara kurang mengambil bahagian dalam kalendar Jelajah PSA termasuk hanya beraksi dalam empat aksi jelajah itu sepanjang 14 bulan terakhir.

Begitupun, dia memenangi dua kejohanan terakhir di Terbuka KSF (Disember lalu) dan Sirkit Qatar (bulan lalu) yang mana dia turun sebagai pemain bukan pilihan.

Juara kebangsaan, Ivan Yuen muncul pilihan utama dan akan membuka kempen menentang pemain kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 7:38 AM