PEMAIN Switzerland, Ricardo Rodriguez (tiga dari kiri) menjaringkan gol tunggal sebelum aksi timbal balik.  FOTO/AFP
PEMAIN Switzerland, Ricardo Rodriguez (tiga dari kiri) menjaringkan gol tunggal sebelum aksi timbal balik. FOTO/AFP
AFP

BASEL, Switzerland: Switzerland mengikat Ireland Utara untuk menempah tiket ke Piala Dunia 2018 di Russia dengan keputusan seri tanpa jaringan, pada aksi timbal balik yang memberikan mereka kemenangan secara agregat 1-0, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Vladimir Petkovic mensia-siakan deretan peluang keemasan di babak pertama, tetapi jaringan penalti kontroversi Ricardo Rodriguez ketika aksi pertama di Belfast sudah mencukupi buat Switzerland untuk mara ke Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut.

“Ia cukup sukar, tekanan terlalu tinggi,” kata penjaga gol Switzerland, Yann Sommer. “Semua orang berkata yang ia sudah selesai, tetapi menentang pasukan sebegitu ia adalah satu pertarungan.

“Saya gembira kami mencapai matlamat kami. Malang sekali, kami tidak cukup tajam kerana ia akan menjadikannya lebih mudah.”

Ireland Utara sekali lagi tercicir di saat akhir daripada menyertai pusingan akhir Piala Dunia sejak tahun 1986.

“Jelas sekali kami tersingkir kerana keputusan (pengadilan) yang buruk pada perlawanan pertama,” kata pengendali Ireland Utara Michael O’Neill, merujuk kepada penalti yang diberikan kepada Switzerland selepas bola didakwa terkena tangan Corry Evans.

“Persembahan kami malam ini amat baik. Kami adalah pasukan yang lebih baik. Kami bernasib baik beberapa kali tetapi kami berjuang hingga minit ke-94.

“Pemain cukup kecewa tetapi saya amat bangga dengan mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 1:26 PM