KEVIN yakin lima pasukan yang tidak mempunyai lesen kelab berpeluang besar untuk mendapatkan lesen. FOTO/OSMAN ADNAN
KEVIN yakin lima pasukan yang tidak mempunyai lesen kelab berpeluang besar untuk mendapatkan lesen. FOTO/OSMAN ADNAN
Oleh Syafiq Aznan

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak menolak kemungkinan lima pasukan terpaksa disingkirkan daripada bersaing dalam kancah Liga Super andai mereka gagal mendapatkan lesen kelab bagi musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, peruntukan sedia ada jelas menunjukkan setiap pasukan perlu memiliki lesen untuk menyertai saingan liga elit itu dengan mana-mana pasukan yang tidak memiliki lesen tidak dibenarkan bertanding.

Malah, Kevin menjelaskan kekosongan yang ditinggalkan oleh pasukan yang disingkirkan itu tidak mendatangkan masalah kerana badan induk itu sedia mengadakan perbincangan bagi mencari jalan terbaik dalam melengkapkan 12 pasukan yang bersaing dalam Liga Super itu.

“Tiada apa-apa perubahan mengenai arahan ini kerana sudah jelas jika pasukan tidak mempunyai lesen, mereka tidak akan dibenarkan bertanding. Jadi seandainya situasi ini berlaku nanti, kemungkinan besar kita akan menyaksikan ada kekosongan dalam saingan Liga Super musim depan.

“Jadi, antara jalan yang boleh kita ambil adalah meneliti mana-mana pasukan Liga Perdana yang berpotensi dan boleh melengkapkan pelesenan kelab untuk dibawa menyertai Liga Super. Apapun, itu cuma satu cadangan dan ia perlu diperhalusi dalam mesyuarat bersama Lembaga Pengarah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semua pasukan di Liga Super perlu mendapatkan lesen sebagai sebuah kelab musim ini manakala pasukan di Liga Perdana mempunyai tempoh sehingga Oktober 2018 bagi memenuhi pelesenan kelab sepenuhnya menjelang musim 2019.

Bagaimanapun, Kevin mengesahkan kelonggaran mungkin dapat diberikan oleh Lembaga Rayuan kepada mana-mana pasukan yang masih belum melengkapkan pelesenan kelab sekali gus memberi harapan kepada mereka untuk kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

“Keputusan rayuan bergantung kepada Lembaga Rayuan dan jika mereka memberikan lesen secara bersyarat, FMLLP tetap perlu membenarkan mereka bertanding kerana keputusan itu di luar bidang kuasa FMLLP.

“Apapun, saya lihat lima pasukan yang masih belum memiliki lesen kelab itu berpeluang besar untuk mendapatkannya kerana mereka tidak berdepan apa-apa masalah mengenai dokumen yang dibentangkan,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan hanya tujuh daripada 12 pasukan yang beraksi dalam Liga Super musim ini lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super musim depan.

Tujuh pasukan terbabit adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang, Selangor dan T-Team FC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:52 PM