ANAK-anak perlu dididik bahawa menerima duit raya hanya satu bonus ketika pergi berhari raya tetapi ia bukan satu kemestian. FOTO Arkib NSTP
ANAK-anak perlu dididik bahawa menerima duit raya hanya satu bonus ketika pergi berhari raya tetapi ia bukan satu kemestian. FOTO Arkib NSTP
Mohd Shahrizal Nasir

Segala pujian hanya selayaknya untuk Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada umat Islam nikmat hari raya.  Pada tahun ini kita berkesempatan untuk berada dalam bulan Syawal yang penuh barakah setelah selesai menunaikan puasa Ramadan serta amalan sunat lain pada bulan tersebut. Kini kita diberi satu nikmat yang sepatutnya dirasai dengan penuh kesyukuran.

 Sudah menjadi budaya umat Islam di Malaysia, apabila tiba hari raya Aidilfitri kita menyambutnya hampir sebulan penuh. Kita penuhi bulan Syawal dengan amalan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi antara sesama saudara, sahabat dan jiran tetangga. Satu lagi budaya yang sering kita amalkan ialah pemberian duit raya kepada kanak-kanak.

Sebenarnya perbuatan memberi duit raya ini bukanlah secara spesifik menjadi syariat yang ditetapkan oleh Islam. Ia merupakan satu budaya mulia dalam masyarakat kita yang boleh terus diamalkan. Kanak-kanak seronok apabila menerima duit raya setiap kali datang beraya di rumah orang lain.

Berkaitan duit raya, ada satu perkara yang perlu menjadi perhatian semua khususnya ibu bapa. Adalah sangat baik apabila ibu bapa memberi nasihat kepada anak-anak agar memahami konsep pemberian duit raya tersebut. Ia hanyalah satu bonus ketika pergi berhari raya, namun ia bukan satu kemestian. Dalam erti kata lain, anak-anak perlu diingatkan agar tidak terlalu berharap kepada duit raya setiap kali mengunjungi rumah orang lain.

Mungkin perkara ini nampak remeh dan kita juga perlu meraikan keseronokan anak-anak yang mendapat duit raya.  Namun, nasihatilah mereka agar tidak terlalu mengharap duit raya. Ada kalanya anak-anak siap dibekalkan dengan beg besar yang dibawa ke hulu dan ke hilir untuk mengisi duit raya. Sehinggakan ada juga segelintir anak-anak datang berhari raya hanya semata-mata untuk mendapat duit raya.

Perkara ini perlu diperbetulkan meskipun mereka masih lagi dalam usia kanak-kanak. Ibu bapalah yang sepatutnya bertanggungjawab menjelaskan kepada anak-anak tentang kebaikan melakukan ziarah hari raya yang tujuan utamanya ialah untuk mengeratkan ukhuwah sesama insan.

Perbuatan anak-anak yang membuka sampul duit raya di depan orang yang memberi juga perlu diperbetulkan. Ia menggambarkan sikap yang tidak cantik dan perlu diperbetulkan agar anak-anak mengetahui bahawa perbuatan tersebut tidak sepatutnya dilakukan di depan orang yang memberi duit raya.

Sebaiknya anak-anak diajar agar mendoakan kebaikan untuk orang yang memberi duit raya. Ini merupakan satu tuntutan yang dianjurkan dalam Islam. Hal ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah SAW:  "Barang siapa yang telah menerima kebaikan daripada seseorang, lalu dia berkata kepada pelaku kebaikan tersebut,  "Jazakallahu khairan" bererti dia telah sampai kepada darjat memujinya (telah berdoa dan berterima kasih kepadanya dengan memujinya)."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Umat Islam juga seharusnya berusaha melakukan  satu anjakan paradigma dalam hal duit raya agar anak-anak tidak terdidik menjadi insan yang terlalu obses terhadap duit dan harta kekayaan.  Sememangnya amalan bersedekah merupakan amalan yang sangat mulia di sisi Islam. Oleh itu, sempena Syawal ini, ambillah peluang untuk mendidik anak-anak agar memiliki sifat pemurah.

Sebagai contoh, berilah peluang kepada anak-anak mengedarkan sampul duit raya yang ingin diberikan kepada anak-anak orang lain ketika beraya di rumah. Kita ajar anak-anak bukan sahaja mereka hanya menerima duit raya, tetapi juga memberi kepada orang lain. Berilah anak-anak peluang merasai nikmat menjadi orang yang tangannya berada di atas iaitu ketika memberi duit kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang mafhumnya:  "Tangan yang di atas (orang yang memberi sedekah) lebih baik daripada tangan yang di bawah (orang yang menerima sedekah)."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Selain itu, mungkin boleh diusahakan tatkala anak-anak mendapat duit raya yang banyak, cadangkan kepada mereka untuk memasukkan sedikit daripada duit tersebut ke dalam tabung masjid atau surau.  Perkara ini mungkin kelihatan  sangat kecil tetapi percayalah ia membawa impak positif yang besar dalam diri anak-anak.

Kesemua ini kita lakukan demi untuk menyemai sifat pemurah dalam diri anak-anak.  Kita nyatakan kepada mereka bahawa duit yang dimiliki bukan semuanya untuk kita. Sebaliknya ada hak orang lain yang perlu kita berikan daripada duit tersebut. Jangan didik anak menjadi orang yang sangat teruja dengan duit raya dan rasa sedih dengan berkurangnya duit tersebut kerana bersedekah.

Ibu bapa juga perlu kerap berkongsi dengan anak-anak khususnya pada bulan Syawal ini tentang kelebihan bersedekah. Kita perlu semai sifat pemurah dalam diri anak-anak agar mereka kelak tidak menjadi hamba kepada duit dan harta. Banyak kelebihan sedekah yang boleh kita kongsikan, antaranya:

• Sedekah dapat menghapuskan dosa yang telah dilakukan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  "Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

• Allah SWT mengurniakan keberkatan kepada harta disebabkan amalan sedekah. Keberkatan harta boleh difahami dengan maksud harta yang dimiliki akan sentiasa cukup untuk digunakan meskipun jumlahnya tidaklah sehingga melimpah ruah. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Harta tidak akan berkurang dengan sedekah."  (Hadis riwayat Muslim)

• Pahala orang yang bersedekah akan dilipat- gandakan. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  "Sesungguhnya orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipatgandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak."  (Surah al-Hadid, ayat 18)

Banyak lagi kelebihan yang bakal diterima oleh orang yang mengamalkan perbuatan bersedekah. Kongsikan kelebihan kepada anak-anak agar mereka teruja dengan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT. Jiwa anak-anak kita sangat tulus dan bersih. Jika diberi didikan yang baik sepertimana yang diajarkan oleh Islam, pasti mereka akan membesar dalam keadaan yang baik.

Sesungguhnya didikan yang baik kepada anak-anak tentang pengurusan wang dan harta akan menjadikan mereka orang yang pemurah.  Mereka tidak akan tamak mengumpul harta hanya untuk kesenangan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

Kemuliaan tangan orang yang memberi akan memelihara diri mereka daripada perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT iaitu mengherdik orang yang memerlukan bantuan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:  "Adapun orang yang meminta (bantuan) maka janganlah kamu tengking herdik."  (Surah ad-Duha, ayat 10)

Penulis Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 7:00 AM