SALAH satu sajian enak mengandungi keju.
SALAH satu sajian enak mengandungi keju.
Hartini Mohd Nawi


SAJIAN berkeju jarang sekali ditolak rakyat Malaysia. Malah keju boleh dikatakan makanan pembuka selera kegemaran ramai.

Kini terdapat lebih banyak produk yang mengandungi keju dan pelbagai pilihan keju di pasaran.

Pasaran keju Malaysia diunjurkan bernilai RM1.094 bilion pada tahun ini dan dijangka berkembang setiap tahun pada kadar 7.52 peratus.

Lembaga Penasihat Susu California (CMAB) iaitu lembaga pemasaran pertanian terbesar di California baru-baru ini menganjurkan satu acara untuk mendidik pengguna Malaysia berkenaan keju berkualiti tinggi mereka yang memaparkan cap dagangan Real California Milk.

Terdapat pelbagai produk tenusu di bawah portfolio CMAB yang bukan sahaja terhad kepada keju, susu, yogurt dan ais kirim semata-mata.

Rakyat Malaysia boleh menikmati pelbagai jenis keju California seperti cheddar, mozzarella, pepper jack dan monterrey jack.

Wakil Negara Malaysia bagi CMAB Eddie Saw berkata, lebih ramai rakyat Malaysia kini mula menghargai jaminan kualiti produk tenusu California seperti keju dan aiskrim yang memaparkan cap dagangan itu.

"Semua keju ini sungguh lazat dan anda boleh menikmatinya pada bila-bila masa dalam sehari. Ramai rakyat Malaysia kini mula menggunakan keju dalam masakan mereka.

"Keju yang berbeza dengan menawarkan kualiti dan fungsi unik yang tersendiri sekali gus membuka pelbagai pilihan kulinari berasaskan keju," katanya.

Satu sesi memasak yang membabitkan 20 pempengaruh gaya hidup dan makanan di Malaysia diadakan baru-baru ini untuk mengetengahkan kelainan serta kualiti produk tenusu dan keju California, terutamanya yang memaparkan cap dagangan berkenaan.

Chef Eksekutif Bertauliah, Barbara Alexander yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kulinari dan hospitaliti mencipta empat resipi lazat.

"Satu auns keju semula jadi, seperti cheddar, jack atau mozzarella mengandungi kira-kira 20 peratus daripada keperluan kalsium harian yang disyorkan bagi seseorang dewasa.

"Mereka yang sensitif kepada laktosa atau tidak boleh ambil laktosa, masih boleh menikmati keju jika mereka pilih jenis keju keras semula jadi (proses penuaan) atau keju matang lembut, yang mengandungi sedikit atau tiada laktosa," katanya.

Ketika sesi memasak itu, semua pempengaruh media sosial menunjukkan kemahiran memasak masing-masing dan mencipta sajian keju yang menggabungkan aneka keju Real California Milk dengan pelbagai bahan atau ramuan masakan.

Hasil ciptaan diadili berasaskan penyampaian dan kreativiti yang menampilkan keserbagunaan, kelazatan serta kesenangan menyediakan sajian masing-masing.

Menariknya, Amerika Syarikat ialah pengeluar susu lembu terbesar di dunia dan California pula negeri pengeluar susu terbesar serta pengeluar keju kedua terbesar.

Kira-kira 50 pengeluar keju menghasilkan lebih daripada 250 jenis keju menggunakan hanya susu California.

Pengeluar produk tenusu California amat prihatin terhadap kesihatan, keselesaan dan keselamatan lembu serta mengutamakan penjagaan haiwan.

California mempunyai banyak syarikat tenusu yang moden, canggih dari segi teknologi dan cekap, dengan amalan terbaik dari segi keselesaan serta penjagaan lembu berlandaskan usaha mencipta masa depan yang lebih bersih dan lestari.

Apatah lagi California adalah negeri utama di Amerika Syarikat yang melaksnakan amalan perladangan tenusu yang lestari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 6:50 AM