EIYMA mengakui bidang kosmetik atau kecantikan adalah minatnya.
EIYMA mengakui bidang kosmetik atau kecantikan adalah minatnya.
Nurul Husna Mahmud


KERJA gila! Itu antara reaksi di sekelilingnya apabila apabila Norazmiah Abd Jalil yang sudah berada di posisi selesa iaitu sebagai juruaudit teknologi maklumat dengan gaji bulanan RM8,000 membuat pertimbangan terjun ke bidang perusahaan tanpa ada latar belakang berkaitan bidang kimia.

Wanita kelahiran Temerloh, Pahang ini sanggup mengambil risiko mempertaruhkan pengalamannya bergelar jurusolek selama lima tahun untuk membuka kilang menghasilkan produk kosmetik.

Kata Norazimah yang juga lebih selesa disapa Eiyma dalam kalangan pengikut dan kenalannya, idea untuk memiliki kilang sendiri tercetus apabila sukar mencari kilang yang dapat memenuhi standard dalam penghasilan produk kosmetik.

"Perjalanan saya sebagai pengilang dan pengusaha produk bermula pada tahun 2016 dan sebenarnya ibu saya adalah individu yang mencetuskan idea 'gila' itu secara tidak sengaja.

"Dulu, selain menjadi juruaudit teknologi maklumat dalam dunia korporat, saya juga mengambil tempahan kerja solekan. Minat saya terhadap bidang solekan dan kosmetik itu sangat tinggi.

"Kira-kira lima tahun menjadi jurusolek, satu pertanyaan ibu saya mengenai produk yang digunakan untuk merias wajah pengantin atau klien adakah halal dan bersih? Itu yang membuatkan saya sedar perlunya untuk hasilkan produk sendiri.

"Saya mula mencari kilang yang boleh hasilkan produk kosmetik tetapi sukar yang mencapai piawaian termasuklah status halal. Saya berbincang dengan suami dan kami memutuskan untuk buka kilang sendiri," katanya.

Eiyma mengakui, menjadi pengusaha kilang kosmetik menagih pengorbanan tinggi termasuklah tanpa sebarang latar belakang pendidikan bidang kimia menyebabkannya terpaksa bermula dari kosong.

"Tahun pertama memang sangat getir kerana bidang perusahaan kosmetik agak berlainan dengan rutin solekan.

"Tetapi saya begitu minat terutama dalam formulasi kosmetik membuatkan saya tidak malu menimba ilmu daripada staf yang juga ahli kimia lebih arif dalam penggunaan bahan.

"Masuk tahun kedua dan seterusnya, saya boleh faham istilah atau bahan digunakan untuk menghasilkan produk kosmetik.

TURUT menjadi penceramah untuk pengasas dan pengusaha kilang baru.
TURUT menjadi penceramah untuk pengasas dan pengusaha kilang baru.

"Cabaran lain, saya juga perlu pelajari prosedur membuka kilang. Saya akui proses terutama mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah tugas rumit.

"Tetapi itu juga misi awal saya yang mahu menjadi pengilang atau pengusaha yang menghasilkan produk kosmetik halal, sihat dan selamat kepada pengguna," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui pengilang atau pengusaha produk kosmetik berupaya mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan jalan singkat.

"Sebagai usahawan dan pengilang saya sentiasa letakkan integriti dan kredibiliti dalam setiap cara kerja kerana saya mahu tepis skeptikal orang ramai mengenai pengusaha produk tempatan hanyalah menghasilkan produk timbang kilo.

 KOLABORASI bersama saintis dari Swizerland, Dr Fred.
KOLABORASI bersama saintis dari Swizerland, Dr Fred.

"Sebagai contoh, pengilang boleh guna merkuri untuk formula mereka bagi mendapat kesan atau perubahan cantik dengan cepat sebaik produk sampel mereka sudah diluluskan.

"Saya memilih tidak untuk bertindak sedemikian meskipun ada pengasas mahu dan menawarkan bayaran yang mahal.

"Biarlah kehilangan tawaran asalkan budaya kerja telus dan jujur apatah lagi peranan atau imej kilang menghasilkan produk kosmetik patuh Syariah atau halal," katanya.

Tidak hanya itu, Eiyma turut meningkatkan kredibiliti dalam amalan kerja perusahaannya dengan berkolaborasi dengan saintis dari Switzerland, Dr Fred Zullie.

"Saya kena hati-hati kerana kilang saya ini juga tempat untuk lebih 700 produk. Bermakna di bawah saya ada beratus-ratus pengasas produk berkongsi rezeki.

"Jika ada skandal yang tidak sihat termasuklah penggunaan bahan yang beracun dan merbahaya serta was-was status halal haramnya, tidak mustahil produk lain dihasilkan dalam kilang yang sama terkena tempiasnya.

"Saya sangat berhati-hati dan telus dengan setiap bahan atau ramuan digunakan bagi memastikan setiap dibawa masuk adalah halal.

EIYMA selalu kekalkan komunikasi baik dengan suami kerana mengusahakan kilang bersama.
EIYMA selalu kekalkan komunikasi baik dengan suami kerana mengusahakan kilang bersama.

"Malah saya elak menggunakan ramuan daripada sumber meragukan terutama berasaskan haiwan untuk memastikan status halal," katanya.

Tidak semestinya perjalanan dalam menjadi pengusaha kilang itu menjanjikan kejayaan setiap masa.

Eiyma berkata, beliau pernah juga terduduk apabila bancuhan untuk menghasilkan gincu untuk salah satu produk tempatan salah.

"Selama menjadi pengusaha ini juga banyak saya pelajari mengenai sikap dan ragam pengasas produk. Ini mengajar saya lebih matang menangani apa juga ujian dan cabaran.

"Antara pengalaman unik, ada juga permintaan pelik dari pengusaha produk rawatan alternatif. Sebagai contoh ada satu produk ini membuat permintaan ketika proses bancuhan mereka perlu buat ritual pada bahan terbabit.

"Pihak saya terpaksa menolak kerana operasi kilang tidak dibenarkan pihak luar selain pekerja berada di lokasi bagi mengelak pencemaran pada produk lain.

"Selain itu perniagaan kilang saya hampir bankrap apabila terpaksa menanggung kerugian RM2 juta kerana salah bancuhan produk gincu. Ia tidak dapat dijual dan saya terpaksa menanggung kos itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 7:00 AM