Nurul Husna Mahmud


BERGELUMANG dengan minyak dan peluh sudah menjadi sebahagian daripada rutin dalam kehidupan Rosmela Mansor yang juga pemandu bas persiaran.

Dia yang mesra disapa Della itu, tidak kisah baring di jalan tar yang panas andai keadaan memerlukan dia berbuat demikian ketika bas mengalami kerosakan.

Semangat luar biasa dimiliki ibu tunggal kepada tujuh cahaya mata itu menunjukkan betapa dia 'mencintai' kerjaya itu meskipun tugas mengendali kenderaan besar itu lebih sinonim dalam kalangan lelaki.

"Saya memilih kerjaya memandu bas kerana minat. Kerja ini menyeronokkan apabila dapat memberi khidmat kepada ahli rombongan atau penumpang yang menggunakan bas persiaran.

"Malah, sebelum ini mengendali lori kontena untuk beberapa tahun dan atas faktor usia dan kesihatan, saya beralih menjadi pemandu bas.

"Sebenarnya memandu bas adalah lebih tinggi risiko dan tanggungjawab. Saya memikul amanah iaitu kira-kira 40 nyawa yang berada dalam bas sepanjang pemanduan," katanya.

Biarpun susuk tubuhnya tidak sepadan dengan 'badan' bas yang besar, namun kredibiliti wanita itu tidak pernah menjadi persoalan baik dalam kalangan pengusaha mahupun penumpangnya sendiri.

"Tidak pernah penumpang mempertikaikan kemampuan saya mengendalikan bas. Malah, mereka bersyukur dan mengalu-alukan pemandu wanita kerana percaya wanita lebih cermat di jalan raya.

PEMANDU wanita memiliki reputasi baik kerana dikatakan cermat dan  pembersih.
PEMANDU wanita memiliki reputasi baik kerana dikatakan cermat dan pembersih.

"Tambahan pula personaliti saya yang 'gila-gila' membantu saya mudah mesra dengan penumpang. Pada saya disiplin dan memiliki budaya kerja baik membolehkan penumpang rasa selesa serta selamat," katanya.

Menceritakan cabaran sepanjang bergelar pemandu bas kata Rosmela, tiada satu pun tugas itu dirasakan sukar kerana itu adalah pilihan dan minatnya.

"Kalau boleh saya hendak menjadi pemandu selagi masih mampu kerana rasa tenang dan apabila berada di jalan raya segala permasalahan hilang.

"Malah, rezeki saya membesarkan anak-anak juga adalah dengan memandu bermula dengan lori kontena dan kini bas pula.

"Tiada istilah malu sebaliknya saya bangga kerana dapat buktikan wanita juga mampu mengendalikan kenderaan berat.

"Jika difikirkan permintaan dalam kalangan pengusaha juga cukup tinggi yang mahu wanita mengendalikan bas mereka.

"Tanggapan pengusaha bas, pemandu bas wanita lebih cermat selain cekap dalam kerja pembersihan. Bukan pemandu lelaki tiada sikap begini, cuma 'bab' membersih ini selalunya wanita lebih teliti," katanya.

BERSAMA ahli rombongan yang menggunakan perkhidmatan Rosmela.
BERSAMA ahli rombongan yang menggunakan perkhidmatan Rosmela.

Berkongsi rutin sebagai pemandu bas, kata wanita itu lagi, kerja ini memiliki banyak faedah termasuk pendapatan stabil.

"Alhamdulillah pendapatan sebagai pemandu bas boleh menampung kehidupan seharian kerana satu perjalanan iaitu tiga hari boleh dapat RM500 hingga RM600.

"Biasanya pemandu bas dibenarkan membawa seorang ahli keluarga dan penginapan selain makan minum ditanggung.

"Belum lagi tip dan elaun lain. Pemandu bas persiaran kalau bijak cari peluang boleh jana pendapatan lumayan terutama ketika musim cuti sekolah.

"Waktu lain, saya turut bawa pekerja kilang jika tiada kerja membawa pelancong. Banyak saluran boleh jana pendapatan menerusi kerja sebagai memandu bas," katanya.

Menjelaskan perancangan masa hadapan, dia berkata, ingin memiliki bas sendiri supaya dapat memulakan legasi dalam perkhidmatan pengangkutan.

KELUARGA menjadi penguat Rosmela.
KELUARGA menjadi penguat Rosmela.

"Selain saya, anak nombor empat dan enam dilihat memiliki bakat atau minat seperti saya. Anak nombor empat ketika ini pemandu lori kontena di Pasir Gudang, Johor.

"Anak perempuan bongsu berusia 17 sudah cekap mengendalikan bas dan saya berhasrat menghantar dia untuk mengambil lesen mengendalikan kenderaan berat.

"Saya berusaha mendapatkan bas sendiri dan ketika ini banyak dibantu abang angkat serta keluarganya," katanya.

Rosmela berkata, perjalanan paling jauh pernah dibawa ialah rombongan ke Thailand.

"Seluruh pelosok Semenanjung sudah sampai dan paling jauh adalah ke Thailand. Kalau jauh kena ada dua pemandu.

"Dua perkara menjadi amalan atau disiplin adalah kesihatan dan keselamatan. Dua aspek ini saya amalkan ketika memandu kerana setiap nyawa dalam bas yang saya pandu adalah ibu, bapa, isteri, suami dan anak kepada seseorang.

"Saya perlu pastikan mereka ini sampai ke destinasi dan kembali ke pangkuan orang tersayang dengan sihat serta selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 7:00 AM