PEMASANGAN perentak jantung bukan bermakna perubahan terhadap cara kehidupan berlaku secara drastik kerana kebanyakan pesakit boleh melakukan pekerjaan dan meneruskan aktiviti seperti biasa.
PEMASANGAN perentak jantung bukan bermakna perubahan terhadap cara kehidupan berlaku secara drastik kerana kebanyakan pesakit boleh melakukan pekerjaan dan meneruskan aktiviti seperti biasa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

BIASANYA, banyak soalan diajukan pesakit yang memerlukan atau sudah dipasang perentak jantung.

Antaranya, berapa lama bateri dapat bertahan dan apa akan berlaku apabila bateri habis?

Selain itu, ramai pesakit juga sering bertanyakan adakah mereka boleh memandu atau bersukan sekiranya memakai alat berkenaan.

Tidak kurang juga ada yang bertanyakan adakah peralatan elektrik dan elektronik lain akan mengganggu fungsi perentak jantung serta pelbagai lagi soalan lain yang bermain di fikiran mereka.

Menjawab persoalan itu, Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi, Hospital Pakar KPJ Selangor, Dr Ahmad Fazli Abdul Aziz berkata, perentak jantung adalah suatu alat elektronik yang dipasang untuk mengawal dan mengatur degupan jantung supaya teratur mengikut rentak yang diperlukan.

Kata Dr Ahmad Fazli, kebiasaannya alat itu dipasang apabila degupan jantung seseorang itu terlalu perlahan.

Katanya, degupan jantung yang normal biasanya di antara 60 hingga 100 degupan seminit ketika berehat.

"Namun ada antara individu terutamanya yang aktif bersukan mempunyai rentak jantung yang lebih perlahan tanpa mengalami apa-apa masalah.

"Rentak jantung yang perlahan (juga dipanggil 'bradycardia') boleh disebabkan masalah pada noda sinoatrial ('sinoatrial node') yang juga perentak jantung semula jadi atau noda atrioventrikular ('atrioventricular node') di mana pengaliran arus impuls elektrik jantung boleh tersekat," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dr Ahmad Fazli, apabila keadaan berkenaan berlaku, seseorang itu boleh mengalami gejala seperti keletihan, pening atau pitam.

Jelas beliau, gejala itu boleh berlaku secara berterusan atau hanya berlaku pada waktu-waktu tertentu apabila rentak jantung menjadi perlahan.

"Diagnosa akan dilakukan dengan menjalankan ujian elektrokardiografi ketika gejala berlaku.

ALAT perentak jantung ciptaan terkini.
ALAT perentak jantung ciptaan terkini.

"Sekiranya keadaan itu berterusan dan tiada penyebab lain yang boleh dirawat, maka perentak jantung mungkin diperlukan," katanya.

Dr Ahmad Fazli berkata, terdapat beberapa jenis perentak jantung yang boleh dipasang mengikut keperluan dan kesesuaian pesakit.

Kebanyakan alat perentak jantung juga dipasang di sebelah kiri dada dengan wayar ke jantung melalui salur darah.

"Dengan kemajuan teknologi terkini, alat perentak jantung itu boleh dibuat lebih kecil dengan fungsi yang lebih canggih.

"Kini, terdapat juga perentak jantung yang boleh terus dipasang di dalam jantung tanpa memerlukan wayar untuk pesakit yang bersesuaian," katanya.

PERENTAK jantung dipasang apabila degupan jantung seseorang itu terlalu perlahan.
PERENTAK jantung dipasang apabila degupan jantung seseorang itu terlalu perlahan.

Tambah Dr Ahmad Fazli lagi, perentak jantung berfungsi secara automatik untuk melaraskan rentak jantung sesuai dengan keadaan.

Oleh itu, pesakit pada kebiasaan tidak akan merasa apa-apa kelainan.

Namun sekiranya seseorang pesakit mempunyai gejala seperti pening, letih atau hampir pitam, adalah disarankan untuk menyemak nadi dan mendapatkan pemeriksaan segera.

Kata beliau, ketahanan bateri pula bergantung kepada jenis perentak jantung dan penggunaannya namun secara purata, ia bertahan antara tujuh hingga 10 tahun.

Katanya, sekiranya keperluan bantuan perentak jantung hanya diperlukan sekali sekala, maka bateri boleh bertahan dengan lebih lama.

"Apabila jangka hayat bateri hampir berakhir perancangan akan dibuat untuk menukar perentak jantung.

KEBANYAKAN aktiviti sukan juga boleh dijalankan seperti biasa selepas pulih kecuali jenis sukan yang boleh menyebabkan hentakan pada perentak jantung seperti ragbi dan tinju.
KEBANYAKAN aktiviti sukan juga boleh dijalankan seperti biasa selepas pulih kecuali jenis sukan yang boleh menyebabkan hentakan pada perentak jantung seperti ragbi dan tinju.

"Sekiranya wayar masih elok, cuma perentak yang dipasang di dada akan ditukar.

"Jadi, adalah penting untuk pesakit membuat rawatan susulan secara berkala kerana perentak jantung boleh diperiksa dan diprogram untuk memaksimakan jangka hayat bateri," katanya.

Dalam pada itu, menjawab persoalan sama ada boleh memandu dan bersukan, Dr Ahmad Fazli berkata, pesakit yang dipasang dengan perentak jantung boleh memandu apabila sudah pulih dan dibenarkan doktor yang merawat.

Katanya, adalah penting untuk mengelakkan pemanduan sekiranya ada bergejala dan ia memerlukan pemerhatian terlebih dahulu.

"Rawatan susulan secara berkala juga penting untuk memastikan perentak jantung berfungsi dengan baik.

PERALATAN elektrik di rumah seperti televisyen, ketuhar gelombang mikro dan lain-lain boleh digunakan seperti biasa tanpa mengganggu fungsi perentak jantung.
PERALATAN elektrik di rumah seperti televisyen, ketuhar gelombang mikro dan lain-lain boleh digunakan seperti biasa tanpa mengganggu fungsi perentak jantung.

"Kebanyakan aktiviti sukan juga boleh dijalankan seperti biasa selepas pulih kecuali jenis sukan yang boleh menyebabkan hentakan di perentak jantung seperti ragbi dan tinju," katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Fazli menjelaskan bahawa peralatan elektrik di rumah seperti televisyen, ketuhar gelombang mikro dan lain-lain boleh digunakan seperti biasa tanpa mengganggu fungsi perentak jantung.

Namun, peralatan berkuasa tinggi yang boleh menyebabkan gangguan elektromagnetik seperti alat kimpalan perlu dijauhi.

"Peranti elektronik seperti telefon bimbit juga boleh digunakan seperti biasa, cuma dinasihatkan supaya dielakkan meletaknya terlalu dekat dengan perentak jantung seperti di dalam saku baju di dada.

"Pemasangan perentak jantung bukan bermakna perubahan terhadap cara kehidupan berlaku secara drastik kerana kebanyakan pesakit boleh melakukan pekerjaan dan meneruskan aktiviti seperti biasa.

"Apapun, sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, sila berhubung dengan doktor anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 7:01 AM