PENGUNJUNG menikmati pemandangan indah dari yakatabune.
PENGUNJUNG menikmati pemandangan indah dari yakatabune.
Isma Ismail


Apabila ke Jepun, susyi adalah makanan 'asli' negara matahari terbit itu yang dicari.

Walaupun bukan penggemar makanan tradisi negara itu, namun kesempatan berada di Tokyo dan dibawa menikmati pengalaman menyusuri sungai di kota metropolitan membuatkan ia menjadi sajian untuk makan malam penulis.

Kehadiran di Tokyo sempena Japan Mobility Show (JMS) 2023 baru-baru ini, penulis dibawa menikmati pelayaran dari Jeti Shinakawa ke sepanjang dermaga Tokyo dengan menaiki bot berbumbung yang dikenali sebagai yakatabune.

Bot berbumbung gaya Jepun yang cantik ini sering dinyalakan dengan lampu hiasan ketika berlayar di perairan pada sebelah malam.

Pelayaran itu membawa penulis bersantai sambil merenung kemegahan dermaga di persekitaran Odaiba, Menara Tokyo, Skytree dan Rainbow Bridge.

Mengenai yakatabune, ia bermula pada zaman Heian (794-1185) apabila bangsawan pada ketika itu menikmati pemandangan empat musim sambil mereka membaca puisi, bermain muzik dan secara amnya menghiburkan diri mereka sendiri.

Hari ini, bot-bot berkenaan dilengkapkan mengikut perubahan masa, ia disediakan dengan pakej makan malam sambil menyusuri Sungai Sumida buat pelancong tempatan dan juga luar negara.

Menikmati susyi dalam suasana tradisi suasana Jepun dengan selesa, sama ada anda lebih suka tempat duduk di lantai, kerusi atau tempat duduk lantai tenggelam (horigotatsu).

Yakatabune menyediakan pilihan tempat duduk berdasarkan pilihan masing-masing.

Seperti yakatabune dinaiki penulis, ia mampu memuatkan kira-kira 50 orang dengan panjangnya menjangkau kira-kira 25 meter dan tentunya sajian susyi yang disediakan mengikut tempatan awal yang perlu dibuat terlebih dahulu.

Bagi orang Islam yang memerlukan susyi halal, ia tidak menjadi masalah kerana operator yakatabune boleh menyediakan sajian ditempah khusus dari restoran susyi dengan jaminan sijil halal.

Biarpun penulis bukan penggemar susyi, penulis mampu menikmati menu tradisi Jepun itu tanpa sebarang masalah. Mungkin kerana suasana santai di dalam bot yang membuka selera untuk menjamahnya.

PENULIS di Jeti Shinakawa.
PENULIS di Jeti Shinakawa.

Suasana di dalam yakatabune sungguh selesa dengan penyaman udara, bagi yang mahu menikmati cuaca dingin pada sebelah malam boleh keluar dan bersantai di ruang terbuka di atas bot berkenaan selepas menjamu selera.

Dalam pelayaran selama dua jam itu, dapat dilihat cahaya dari bangunan tinggi di kiri dan kanan sungai, bot-bot lain dengan lampu pelbagai warna sekali gus menjanjikan satu pemandangan cukup indah.

Tentunya menikmati pelayaran yakatabune ini menciptakan satu kelainan dalam suasana tradisi Jepun di sebaliknya kemajuan dan kecanggihan yang terdapat di kota Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:44 AM