ISTANA Saddam yang terbengkalai di pinggir Sungai Furat (Euphrates)
ISTANA Saddam yang terbengkalai di pinggir Sungai Furat (Euphrates)
Halimaton Sa’adiah Daud


IRAQ antara senarai negara idaman penulis dan sudah lama mengimpikan untuk ke sana.

Pada Februari lalu, penulis baru berpeluang melawat bumi berkenaan itu pun hanya separuh sahaja iaitu dari Baghdad hingga ke bahagian selatannya.

Hasrat untuk ke sana secara sendiri terpaksa dilupakan kerana mendapatkan visa pelawat pun agak memeningkan apatah lagi untuk bergerak di dalam Iraq.

Terdapat dua jenis visa berasingan bagi yang ingin melawat negara berkenaan. Satu visa untuk ke bahagian yang majoriti penduduknya Kurdish seperti Erbil, Mosul, Kirkuk dan sebagainya. Manakala satu lagi untuk ke bahagian lain seperti Baghdad, Karbala, Najaf,Kufah, Basra dan sebagainya.

Bagi warga asing yang berada di Iraq mereka tidak bebas melintasi 'sempadan' kedua-dua bahagian itu melainkan dengan visa.

Kebenaran khusus perlu diperoleh daripada kerajaan Iraq sebelum permohonan visa dibuat apatah lagi maklumat terkini yang sebenar mengenai bumi ini sukar didapati di internet.

Walaupun ramai memberi gambaran negatif berkenaan negara ini, namun ketika penghujung musim sejuk itu, penulis nekadkan diri untuk ke Iraq menggunakan khidmat ejen pelancongan terkemuka di Kuala Lumpur.

BABYLON menawarkan pemandangan yang cantik dan mendamaikan.
BABYLON menawarkan pemandangan yang cantik dan mendamaikan.

Pada ketika itu, ejen pelancongan berkenaan antara satu-satunya menyediakan pakej lawatan itu selain mempunyai pengalaman membawa kumpulannya ke Iraq.

Penulis bersyukur selama 10 hari di bumi Iraq, segala-galanya berjalan lancar. Tiada kejadian yang menakutkan seperti yang diwar-warkan.

Malah, penulis memasuki bumi Iraq melalui jalan darat di sempadan Kuwait-Iraq (Abdali-Safwan). Dari titik pemeriksaan 'check point' Safwan terus dibawa ke Baghdad dan jam 12 tengah malam tiba di Almansour hotel (by Melia), hotel milik penuh kerajaan Iraq yang dinamakan sempena nama Khalifah kedua dinasti Abbasiyyah.

1. Baghdad

Terletak di tebing sungai Tigris (Dejlah) yang dahulunya pusat pemerintahan kerajaan Abbasiyyah dan pernah menjadi bandar terbesar di dunia dengan penduduk melebihi sejuta orang.

Ia pusat ilmuan atau pendidikan, kebudayaan, perdagangan, tamadun manusia dan pembangunan namun merudum teruk selepas serangan tentera Tartar.

Baghdad sekali lagi musnah teruk akibat Perang Teluk.

Selepas 20 tahun, kawasan tertentu masih dalam keadaan seperti bandar lama, buruk dan terkebelakang serta mungkin perlu ambil masa lama untuk proses pembinaan semula atau pemodenan.

BAHAGIAN dalaman bangunan terletaknya maqam Saidina Hussayn Ibn Ali.
BAHAGIAN dalaman bangunan terletaknya maqam Saidina Hussayn Ibn Ali.

Sesetengah tempat di sini masih diuruskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ada tempat lawatan perlu mendapat kelulusan PBB terlebih dahulu.

Bangunan milik kerajaan Iraq dan kedutaan atau kepentingan asing dibina di kawasan 'Green Zone'.

Pada masa sama, penulis dimaklumkan tempat terkesan dengan peperangan sudah dibaiki sepenuhnya dengan pembinaan bangunan dan pusat beli-belah bercirikan seni bina moden.

Tumpuan di Baghdad dadalah melawat makam tokoh-tokoh Islam.

Penulis berpeluang melawat runtuhan Ctesiphon iaitu pusat pemerintahan empayar Parsi selama 800 tahun yang sebahagiannya kekal teguh sehingga kini.

2.Babylon

Terletak 85 kilometer atau sejam setengah perjalanan dari Baghdad, Babylon berada di tengah Iraq atau selatan Mesopotamia.

Peradaban ini wujud sejak 1800 hingga 1900 tahun sebelum masihi (BC). Pada abad ke 17 (BC) Babylon menjadi kota atau empayar terbesar dengan penduduk seramai 200,000 orang.

Kota lama Babylon yang kini berada di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) menjadi terkenal kembali selepas Taman Tergantung Babylon diiktiraf antara tujuh keajaiban dunia.

Kota ini dibina di kiri kanan Sungai Furat dengan tebing sungai tinggi untuk mengelak air banjir melimpah masuk ke dalam kota.

Malah, kota ini dibaik pulih untuk mengekalkan reka bentuk asal manakala 'Istana Saddam' yang separuh siap di tebing sungai ini dibuka kepada orang awam.

Antara binaan lain di sini yang dibaik pulih ialah Borsippa Ziggurat atau Birs Nimrud yang dahulunya dikatakan Menara Babel walaupun pendapat terkini mengatakan ia tempat ibadat kaum ketika itu yang menyembah dewa Nabu iaitu anak dewa Marduk of Babylon.

Tempat-tempat ini semua berada di bandar Hilla (nama terkini) dalam wilayah Babil tengah Iraq.

ISTANA Saddam di pinggir Sungai Furat.
ISTANA Saddam di pinggir Sungai Furat.

3. Karbala, Najaf dan Kufa

Karbala menempatkan makam Saidina Husayn a.s dan adiknya al Abbas a.s (adik berlainan ibu) yang terkorban di dalam peristiwa Karbala.

Najaf adalah tempat Saidina Ali a.s dimakamkan.

Di sini juga terletaknya perkuburan Islam terbesar di dunia (Wadi asSalam).

Kufah 10 kilometer (km) dari Najaf ialah bandar yang dibuka Khalifah arRashid Kedua iaitu Khalifah Umar ibn AlKhattab dan kemudiannya menjadi ibu negeri pemerintahan Khalifah arRashid terakhir atau keempat iaitu Khalifah Ali ibn Abi Talib karramallahu wajhah.

Kedudukan ketiga-tiga bandar suci ini ialah antara Baghdad dan Basra.

4. Al-Chibayish

Kawasan berpaya terletak berhampiran tempat pertemuan dua sungai iaitu Furat dan Dejlah, didiami pelbagai suku bangsa Arab sejak sekian lama.

Kawasan ini dikenali sebagai Marshes al-Arab atau Ma'dan. Penduduk di sini kebanyakannya petani, penternak dan nelayan.

Shatt al-Arab sepanjang 200km yang mengalir ke selatan Iraq hingga ke Teluk Parsi adalah hasil percantuman kedua-dua sungai ini.

KAWASAN perkuburan awam di Baghdad.
KAWASAN perkuburan awam di Baghdad.

5.Basrah

Terletak di Shatt al-Arab ini dibuka Khalifah Umar ibn Al-Khattab r.a.

Bandar moden yang terletak 545km di selatan Baghdad adalah pusat perdagangan antarabangsa dengan petroleum sebagai produk utamanya.

Penulis namakan bandar ini sebagai bandar minyak kerana telaga minyak di atas daratan boleh dilihat di banyak tempat di Basrah.

Nama Basrah dicatat dalam banyak penerbitan seperti 'Sinbad the Sailor' dan 'Thief of Baghdad.'

Secara peribadi, Penulis berpuas hati dengan lawatan ini kerana selain dapat menyaksikan sendiri bagaimana Sunni dan Syiah hidup aman damai. Penulis juga pasti Iraq negara yang selamat.

Di Karbala penulis boleh bergerak sendirian seharian suntuk, rasa selamat dan bebas keluar masuk lorong sempit di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 7:00 AM