YAMAHA 135LC FI Edisi Khas
YAMAHA 135LC FI Edisi Khas
Lizam Ridzuan


MODEL Edisi Khas untuk Yamaha 135LC FI bukan sahaja tampil dengan warna yang lebih elegan, malah dengan Bakul Premium Yamaha yang julung kali dikeluarkan khusus untuk motosikal cub itu.

Untuk rekod, sebelum memperkenalkan bakul ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melakukan kajian pasaran berkaitan keberkesanannya dan pelbagai faedah lain.

Selepas melakukan kajian pasaran, HLYM mengambil langkah proaktif menawarkan bakul yang lebih kemas dipasang pada motosikal sebagai produk tulen jenama itu di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries dan Pengarah Urusan HLYM Datuk Dr Jim Khor Mun Wei berkata, Bakul Premium Yamaha ini bukan sekadar pelengkap aksesori malah untuk pelbagai kegunaan lain.

"Dengan penuh besar hati, kami ingin memaklumkan yang Bakul Premium Yamaha ini menunggu proses untuk kelulusan.

"Antara yang unik serta istimewa ialah Bakul Premium Yamaha ini direka oleh unit pakar dan pereka di Malaysia.

"Ia dihasilkan menggunakan material berkualiti tinggi serta ciri bersepadu dengan rekaan Yamaha 135LC FI," katanya.

Menurut beliau, Bakul Premium Yamaha ini bukan sekadar bakul, ia adalah kemudahan 2 dalam 1 dengan fungsi bahagian yang terbuka dan tertutup berkapasiti 7,500 mililiter (ml) kalis air dilengkapi pengecas USB.

BAKUL Premium Yamaha kini dipatenkan.
BAKUL Premium Yamaha kini dipatenkan.

Selain menawarkan bukaan tempat duduk lebih luas, bakul ini juga menambah gaya Yamaha 135LC FI yang sudah diketahui cukup kemas serta berketrampilan.

Seiring dengan pembaharuan, Yamaha 135LC FI juga datang dengan enjin yang mematuhi penarafan Euro4 serta prestasi enjin klac auto yang dipertingkatkan sebanyak tujuh peratus.

Yamaha 135 LC FI dikuasakan enjin 135cc baharu sejukan cecair empat lejang SOHC.

Ia mampu menjana kuasa 12.5 kuasa kuda pada 8,000rpm dan tork 12.2Nm pada 6,000rpm dan kotak gear empat kelajuan 'Constant Mesh'.

Bakul Premium Yamaha pula hanya khusus untuk model Yamaha 135LC FI Edisi Khas yang dijual pada harga RM8,198 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 6:30 AM