GAYA mewah Infiniti.
GAYA mewah Infiniti.
Lizam Ridzuan


Infiniti adalah jenama premium bagi pengeluar kenderaan Nissan yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu dengan tawaran gaya dan berprestasi untuk pasaran Amerika Syarikat (AS).

Jenama ini kemudian diperluaskan ke luar AS termasuk Malaysia pada 2011 dan antara model popular adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) QX70.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji model berkenaan daripada varian GT Premium.

PRESTASI dan gaya QX70.
PRESTASI dan gaya QX70.

Melihat pada rekaan luaran model ini, ia menampilkan gaya maskulin dan mewah diinspirasikan daripada elemen kereta sport terutama rim aloi 20 inci dan ekzos berkembar.

Bahagian hadapan enjin lebih panjang dengan rekaan jeriji dan logo Infiniti serta perumah lampu HID, selain rel bumbung bagi tujuan pemasangan alatan gaya hidup aktif.

Sirip sisi dan elemen krom pada beberapa bahagian menyerlahkan ciri prestasi QX70, manakala bahagian pintu belakang elektrik memudahkan urusan membuka dan menutupnya.

CIRI prestasi tampil bergaya.
CIRI prestasi tampil bergaya.

Menjengah ke bahagian dalaman, ia diperhalusi dengan kemasan kulit dan elemen kayu sebagai ciri premium terutama tempat duduk hadapan larasan elektrik sokongan Lumbar serta kerusi penumpang yang selesa untuk perjalanan jarak jauh.

Sistem multimedia dengan skrin sesentuh bersaiz lapan inci dengan paparan sistem pengesan kedudukan global (GPS), maklumat kenderaan, kamera undur 360 darjah AVM dan sistem hiburan dilengkapi 11 pembesar suara Bose adalah gabungan premium terbaik.

RUANG hadapan berciri mewah.
RUANG hadapan berciri mewah.

Kerusi belakang boleh dijatuhkan untuk ruang 60:40 melalui butang kawalan yang terletak di ruang bagasi, manakala bumbung suria menambah gaya eksklusif SUV premium.

Roda stereng berkuasa dengan pelbagai fungsi seperti sistem audio, pelayaran dan pedal penginjak (pedal shifter) mudah dikendalikan terutama ketika parkir di lokasi sempit.

SISTEM maklumat dan hiburan.
SISTEM maklumat dan hiburan.

Enjin 3.7L V6 Variable Valve Event and Lift (VVEL) adalah nadi utama bagi model ini yang menghemburkan kuasa dengan lancar pada sebarang kelajuan terutama di lebuh raya.

Pengendalian mantap kotak gear tujuh kelajuan selain pacuan semua roda pintar (AWD) bukan masalah bagi jentera yang menghamburkan 320 kuasa kuda (hp) dan tork 360Nm.

Penulis kagum dengan penjimatan bahan api yang menggunakan sekitar 9.9 liter untuk setiap 100 kilometer (km) dengan pelbagai kelajuan .

ENJIN 3.7 liter V6 berprestasi.
ENJIN 3.7 liter V6 berprestasi.

Biarpun berprestasi, QX70 dilengkapi ciri keselamatan terbaik seperti beg udara hadapan dan sisi, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Penahan Kepala Aktif Kerusi Hadapan, ISOfix, tali pinggang keledar untuk semua penumpang, Amaran Pelepasan Laluan (LDW) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

BUMBUNG suria untuk lebih pencahayaan.
BUMBUNG suria untuk lebih pencahayaan.

Secara keseluruhan, Infiniti QX70 adalah SUV sarat pelbagai elemen mewah untuk pemanduan berpretasi dan pada masa sama, menawarkan ruang serta pemanduan selesa.

Dilengkapi teknologi keselamatan terkini seperti mengekalkan pada laluan dan jarak kenderaan hadapan dengan Kawalan Pelayaran Pintar membantu mengurangkan faktor menyebabkan kemalangan.

KERUSI belakang selesa dan fleksibel.
KERUSI belakang selesa dan fleksibel.

Bagi mereka yang mahu merasai kepuasan pemanduan boleh menggunakan opsyen transmisi manual dan mod sport bagi mendengar lebih deruman seakan-akan jentera lumba.

Untuk pasaran tempatan, tiga warna ditawarkan iaitu Graphite Shadow, Umbria Twilight dan Malbec Black.

BAHAGIAN kargo dengan pintu elektrik.
BAHAGIAN kargo dengan pintu elektrik.

QX70 diimport sepenuhnya dari Jepun, dijual pada harga bermula RM390,000 (tanpa insurans) dan tambahan RM45,000 untuk varian GT Premium.

REKAAN SUV sporty.
REKAAN SUV sporty.

INFINITI QX70 GT PREMIUM

• ENJIN: 3,696cc, V6 DOHC VVEL

• KUASA: 320hp pada 7,000rpm

• TORK: 360Nm pada 5,200rpm

• KAPASITI TANGKI: 90 liter

• SISTEM KESELAMATAN: ABS, EBD, TCS, VDC, LDW, TPMS, Penahan Kepala Aktif Kerusi Hadapan, ISOfix.

• HARGA: RM435,000 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 12:48 AM