Kakak sulung mangsa Nurlaida (dua kanan) dan ibu saudara Laila Fairus menenangkan dua anak arwah yang bersedih dengan tragedi tersebut. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Kakak sulung mangsa Nurlaida (dua kanan) dan ibu saudara Laila Fairus menenangkan dua anak arwah yang bersedih dengan tragedi tersebut. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Larut: "Sebelum saya ke sekolah pagi kelmarin, ummi (ibu) berpesan, jaga diri baik-baik dan belajar rajin-rajin. Anehnya sebelum ini dia tidak pernah berkata sebegitu. Kebiasaannya kami hanya sekadar bersalaman sebelum ke sekolah," ujar Nur Alwani Fatihah Muhd Faizul, 12, yang kehilangan ibu, Pegawai Waran II Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Noorfarahimi Mohd Saedy, 41, dalam nahas udara kelmarin.

Anak kedua dari tiga beradik itu berkata, dia berasa sedikit pelik dengan pesanan terakhir dititipkan ibunya itu.

"Di sekolah pun saya rasa tak sedap hati dan terfikir mengapa ummi berpesan sebegitu?.

"Saya hanya mengetahui tragedi menimpa ibu selepas dimaklumkan abang, Mohd Alif Farhan beberapa jam selepas tragedi," katanya ditemui di kediaman ibu saudaranya di Banggol Jas, Sungai Bayor, Selama, di sini, semalam.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Muhd Alif Farhan, 16, berkata, dia dan adik bercita-cita mahu mengikut jejak langkah ibu dan bapanya yang juga anggota TLDM.

Menurutnya, kejadian itu meninggalkan kesan yang amat mendalam kepadanya.

"Memang amat sedih, tipulah kalau kami tak meratap atau menangis.

"Namun perkara ini tidak mematahkan cita-cita kami untuk jadi sama seperti ibu. Kami lebih semangat untuk mengikut jejak langkahnya," katanya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Laila Fairus Ismail, 58, berkata, arwah memaklumkan akan berpencen pada bulan Jun ini dan begitu teruja dapat menaiki helikopter TLDM.

"Arwah pernah memaklumkan teringin mahu naik helikopter sebelum berpencen.

"Dia sempat membuat rakaman terakhir dan dimuatnaik dalam status WhatsApp miliknya," katanya.

LAILA Fairus menunjukkan gambar terakhir arwah Nurfarahimi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
LAILA Fairus menunjukkan gambar terakhir arwah Nurfarahimi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Menurutnya, Noorfarahimi memaklumkan mahu berpindah ke Kuantan, Pahang, selepas berpencen kelak susulan suaminya bertugas di sana.

Tambahnya lagi, dia dimaklumkan ahli keluarga bahawa jenazah arwah dalam keadaan sempurna dan hanya terdapat kecederaan pada bahagian kepala sahaja.

Sementara itu, kakak sulung mangsa, Nurlaida Mohd Saedy, 55, berkata, arwah adiknya sempat membuat rakaman video pemandangan dari atas helikopter sebelum tragedi sebelum dikongsi di aplikasi WhatsApp keluarga.

"Difahamkan arwah tidak pernah menaiki helikopter sebelum ini. Dia hanya berpeluang menaiki helikopter TLDM sepanjang latihan raptai selama tiga hari," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Damak, Sungai Bayor selepas selesai urusan bedah siasat atas permintaan suaminya.

'Terdahulu media melaporkan dua helikopter milik TLDM bertembung di udara ketika menjalani latihan raptai sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Kejadian itu menyebabkan 10 anggota dari dua helikopter berkenaan terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:46 AM