Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini, Leftenan T Sivasutan baru melangsungkan perkahwinan hampir tiga bulan lalu.

Sivasutan, 31, yang bertugas sebagai juruterbang di unit Skuadron 502 melangsungkan perkahwinan bersama isteri yang juga seorang doktor gigi pada 25 Januari lalu.

Pasangan itu juga sebelum ini tinggal berasingan dan mereka baru saja dapat merasai kehidupan 'sebenar' rumah tangga selepas isteri mendiang yang sebelum ini bertugas di Pulau Pinang dapat berpindah ke Teluk Intan.

Sepupunya, M Sivanesan, 23, berkata, mereka sekeluarga masih sukar menerima berita menyedihkan itu terutama ibu bapa mendiang, M Thanjappan, 60-an, dan R Parameswary, 60-an, adik-beradik dan isterinya.

MENDIANG Sivasutan ketika melangsungkan perkahwinan 25 Januari lalu. FOTO Ihsan M Sivanesan
MENDIANG Sivasutan ketika melangsungkan perkahwinan 25 Januari lalu. FOTO Ihsan M Sivanesan

"Abang sepupu baru saja berkahwin dan sebelum ini dia dan isteri tinggal berasingan kerana isteri abang bertugas di Pulau Pinang sementara abang di Lumut. Kakak ipar (isteri mendiang) selalu pulang ke Sitiawan setiap hujung minggu.

"Bagaimanapun kakak baru dapat bertukar di Teluk Intan dan semalam dia melapor diri. Namun hari ini kami terima berita menyedihkan ini," katanya ketika ditemui di rumah mendiang di Taman Serdang Jaya, di sini, malam ini.

M Sivanesan menunjukkan gambar perkahwinan abang sepupunya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
M Sivanesan menunjukkan gambar perkahwinan abang sepupunya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Katanya, dia baru bertemu abang sepupunya minggu lalu ketika datang ke rumahnya untuk bertemu nenek mereka namun tidak menunjukkan sebarang perubahan dan mereka sekeluarga bersembang seperti biasa.

"Walaupun hanya sepupu tetapi saya rapat dengan abang dan sebelum ini mendiang abang juga pernah berpesan supaya tengok-tengokkan keluarganya. Abang anak kedua dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya.

"Abang seorang yang sangat baik, dia tidak pernah tinggikan suara apabila bercakap. Abang minat bidang ketenteraan dan memang mahu menjadi anggota TLDM," katanya.

Sivanesa berkata, mendiang yang juga bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sudah berkhidmat bersama TLDM hampir lapan tahun lalu dan sebelum ini mendiang pernah berkhidmat di Sandakan, Sabah.

"Sekarang ini kakak dan adik perempuan mendiang berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menunggu proses bedah siasat dan kalau semua selesai kami akan menguruskan (upacara kematian) esok," katanya.

Bercerita lanjut, pemuda itu berkata, dia menerima berita mengenai nahas berkenaan pada 10.30 pagi tadi sebelum dia dan ahli keluarga mereka bergegas ke rumah mendiang.

"Ketika itu isteri abang sedang bertugas, manakala ibu bapa saudara pula sedang berada di kuil. Saya merasai kehilangan dengan pemergian abang, dia selalu datang rumah dan tiba tiba sudah tiada," katanya.

Sivasutan adalah antara tiga kru pesawat Fennec yang terbabit nahas dengan sebuah lagi aset TLDM iaitu HOM-AW139 yang dinaiki tujuh anggota.

Berita Berkaitan

TLDM dedah 10 nama mangsa nahas helikopter

'Abang hubungi ibu, ayah sebelum kejadian berlaku'

'Selepas ini mereka mungkin balik awal selalu' - Skuadron 503

Rakan menangis, sedih terima berita nahas helikopter

Anggota TLDM terbabit nahas helikopter beri bayangan Aidilfitri terakhir

Salah seorang mangsa suami sepupu Eyra Hazali

Bedah siasat di HRPB

Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur diaktifkan

TERKINI: Semua mangsa helikopter TLDM terhempas dibawa keluar

Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Agong zahir takziah

Kementerian Pertahanan pertimbang semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun TLDM

TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

2 helikopter dinaiki 10 kru

10 dilaporkan terkorban

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 9:29 PM