PELATIH di Puspen akan tinggal di dalam institusi dan berada dalam kawalan 24 jam. FOTO Arkib NSTP
PELATIH di Puspen akan tinggal di dalam institusi dan berada dalam kawalan 24 jam. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Isu penagih dadah terutama golongan muda di negara ini dilihat semakin membimbangkan dengan ada yang berani mencuba bahan terlarang itu seawal umur sembilan tahun.

Antara puncanya adalah pengaruh keluarga terdekat seperti ibu bapa yang menagih dadah di depan mata mereka menyebabkan anak juga terbabit sama.

Ikuti perkongsian pandangan perkara itu bersama Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), SITI MARIAM MURSIDAN bersama wartawan MOHAMMAD KHAIRIL ASHRAF MOHD KHALID untuk Kafe Ahad minggu ini.

SITI Mariam. FOTO Facebook Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia
SITI Mariam. FOTO Facebook Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia

Apakah beza program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen)?

Rawatan AADK ini ada dua yang utama. Satu dalam komuniti dan satu lagi di institusi. Dalam institusi ini, semua yang orang kenal adalah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen). Puspen ini dahulunya dikenali sebagai Pusat Serenti dan dijenamakan semula sebagai Puspen. Kenapa kita jenamakan semula? Ia kerana stigma. Pusat Serenti itu nampak seperti stigma seorang penagih dadah, sukar didekati dan ditakuti. Disebabkan itu kita jenamakan ia sebagai Puspen, dengan pendekatan baharu.

Kedua, kita ada dalam komuniti seperti di Kuala Selangor ini. Kita memberikan servis kepada penagih dadah. Perkhidmatannya ada dua iaitu secara sukarela dan mandatori atau tangkapan. Apa-apa pun, kita sentiasa menggalakkan mereka mendapatkan rawatan secara sukarela disebabkan pendekatannya agak mudah.

Perbezaan antara Puspen dan komuniti yang sangat ketara ialah apabila di Puspen, dia tinggal di dalam institusi dan berada dalam kawalan kita 24 jam. Sebagai contoh bermula daripada dia bangun tidur dan tidur semula. Kita juga melihatnya daripada mula, sampai akhir apa yang berlaku kepadanya. Kita juga menyediakan makan minum dan pakaian mereka.

Dalam komuniti ini pula, dia tinggal di rumah. Sebab itu orang cakap apabila penagih dadah itu ditangkap, esok dia ada balik. Sebenarnya bukan kita lepaskannya, tetapi dia menjalani pemulihan di dalam komuniti. Dia tidak memasuki institusi, tetapi komuniti. Dia mengikuti program secara berkala yang kita jadualkan. Asasnya adalah sebulan sekali, tetapi sebenarnya ia bergantung kepada keperluan. Keperluan itu bagaimana kita dapat? Ia melalui ujian yang kita lakukan. Selepas ujian itu, kita akan lihat tahap keparahannya. Tahap keparahan ini mengandungi tahap ringan, sederhana dan tinggi.

Dalam masa dua tahun itu kita akan pecahkan. Mungkin tiga bulan pertama dia perlu lebih kerap datang dengan kita seperti sebulan dua kali ataupun program khas yang kita lakukan. Contohnya berbuka puasa.

Pemulihan dalam institusi dan komuniti agak berbeza serta yang mencabar adalah dalam komuniti. Ini kerana kita tidak nampak apa dilakukannya. Kita hanya berjumpa dalam sebulan mungkin dua atau tiga jam.

Sebenarnya apabila kita bercakap pasal penagih dadah, kita bukannya fokus kepada penagih itu sahaja, tetapi juga orang sekelilingnya. Orang di sekelilingnya seperti keluarga dan anaknya lebih terkesan berbanding dia sendiri seperti daripada segi emosi dan sosial. Disebabkan itu kita dengar kadangkala anak tidak mahu ke sekolah dan berasa malu kerana orang kata dia anak penagih.

   

Dua tahun itu cukup ke masa untuk AADK pantau penagih dadah dalam komuniti ini?

Mengikut undang-undang, dua tahun saja. Tetapi selepas itu, kita tidak ada apa-apa ikatan pada dia. Kalau nak cakap cukup atau tidak itu, sebenarnya ia bergantung kepada proses dan perkembangannya. Sebenarnya manusia apabila bercakap pasal pemulihan, ia tidak ada titik noktah. Ia akan berterusan. Dia perlu sentiasa faham dan sedar apa yang dibuat. Ini adalah masalah sosial dan bukannya boleh diubati dengan ubat saja. Ia adalah proses apabila dia perlu mengubah daripada segi tingkah lakunya. Contohnya tingkah laku negatif, jadi positif. Pemikiran negatif jadi positif. Maksudnya dia kena sentiasa berfikiran positif atau baik. Kita kena ubah proses sebenarnya dia bukan tidak berguna, tetapi dia tidak menggunakan apa yang ada untuk kebaikannya.

Nak kata dua tahun itu cukup atau tidak, daripada segi berhenti menggunakan dadah, sudah cukup. Tetapi untuk dia pulih, belum lagi. Sebab pulih ini takkan habis. Kita juga wujudkan kumpulan sokongan untuk membantu mereka. Contohnya kita wujudkan kelompok pembimbing rakan sebaya dan daripada keluarga kita wujudkan Kelompok Sokongan Keperluan Keluarga (KSKK).

   

Berapa tempoh masa yang diambil agar penagih dadah ini betul-betul pulih? Ada tak kajian dibuat?

Kalau ikut kajian, dalam masa sebulan dua, dia dah boleh berhenti dah. Itu penagih di tahap ringan. Dia tahu sahaja, dia boleh berhenti. Tapi dia cuma berhenti. Pemikiran, tingkah laku, sistem sosial dia belum lagi berubah.

   

Golongan umur mana yang banyak menerima program RPDK ini?

Golongan yang paling ramai adalah golongan yang produktif iaitu mereka yang berumur 18 hingga 39 tahun. Mereka ini paling ramai. Kemungkinan adalah disebabkan masa itu dia baru mula bekerja. Bila bekerja dia 'stress' dan menghisap dadah salah satu pelarian untuk dia menguruskan tekanan. Apabila menguruskan tekanan, masa ini golongan muda, dia suka berjumpa kawan-kawan, berbanding dengan berjumpa dengan orang yang boleh membantu.

   

Adakah trend mereka yang menghisap dadah di negara ini membimbangkan?

Kalau tanya pandangan saya, perkara ini agak membimbangkan. Ini disebabkan umur menagih itu semakin muda. Sama ada dia bermula daripada rumah atau bermula daripada persekitaran dan sebagainya. Kita kena tanya kenapa perkara ini berlaku daripada usia muda. Selalunya kita akan cakap disebabkan keluarga tidak jaganya dengan baik dan datang daripada keluarga berpecah belah. Adakah benar perkara ini berlaku? Tidak boleh sewenang-wenangnya bercakap disebabkan keluarga itu susah, diabaikan oleh keluarga atau keluarga bercerai berai. Ada juga datang daripada keluarga bahagia tetapi dia mengambil dadah. Ada juga yang bukan orang miskin tetapi orang kaya mengambil dadah. Umur muda ini kita kena tahu punca kenapa. Ataupun disebabkan mahu mencuba. Tetapi betul ke sebab mencuba? Mungkin ada benda lain menyebabkan dia mengambil dadah.

   

Umur muda menghisap dadah ini seawal umur berapa?

Seawal umur 9 tahun. Kebanyakan disebabkan mak bapa atau keluarga terdekat itu menagih dadah. Ahli keluarga itu menagih, jadi anak-anak biasa tengok depan mata. Setakat ini, ini umur yang paling muda. Kalau dulu, 10 tahun lepas, tidak ada perkara seumpama ini. Kalau untuk golongan muda, kebanyakannya mengambil dadah jenis baharu seperti syabu dan pil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:30 AM