SITI Khadijah Halim kini membintangi drama Wanita Syurga.
SITI Khadijah Halim kini membintangi drama Wanita Syurga.
Syafil Syazwan Jefri

TERANIAYA dan diduga dengan kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga bukan mudah buat seorang wanita, lebih-lebih lagi apabila sudah memiliki cahaya mata.

Curang adalah pilihan yang sekiranya dipilih, akan membawa bencana buat rumah tangga dan hubungan suami isteri.

Bagi pelakon, Siti Khadijah Halim yang berada dalam situasi ini ketika menggalas tanggungjawab sebagai Ardini Zahira dalam drama bersiri baharu, Wanita Syurga, bukanlah satu tugasan mudah.

Namun, pelakon berusia 27 tahun ini menuangkan segala pengalaman dan rasa di dalam watak mencabar dan berat ini bagi menjayakan jalan cerita drama arahan Muhammad Riza Baharudin yang kini ditayangkan di slot Akasia TV3 ini.

"Sangat berat kerana saya belum pernah pegang watak seberat ini. Dia ibu, isteri dan menantu. Untuk jadi seorang ibu agak kekok pada awalnya. Mujur Abang Riza selaku pengarah beri tunjuk ajar. Jadi, secara tak langsung saya jadi lebih melindungi watak anak saya.

"Berlakon dengan Redza Rosli pula pada saya satu peluang yang baik sebab dia adalah pelakon yang baik. Dia banyak bimbing saya dan saya banyak belajar," katanya.

Berkongsi mengenai 'penyondol' yang menjadi pengganggu gugat dalam rumah tangga watak Ardini, Siti sebagai individu melihat pengalaman beremosi dalam dunia nyata banyak membantunya membawakan watak itu.

"Saya sentiasa di pihak wanita. Kalau wanita itu salah buat, saya akan tegur. Tapi, kalau Ardini ini kawan saya, saya akan kerjakan Farah. Tapi, saya Ardini.

"Ada kenalan rapat dicurangi. Saya sendiri pun ada juga. Saya rasa saya gunakan perasaan dari pengalaman lalu. Saya adalah orang yang periang.

"Saya gunakan perasaan sedih itu untuk bawakan watak. Yang sakitnya, bila gunakan, kita tak 'move on' sebab masih ingat benda yang lepas. Tapi, ia berfungsi juga kepada seorang pelakon untuk digunakan," katanya.

Pada masa sama, Siti juga melihat jalan cerita itu dari sudut pandang watak Amar Ilhami lakonan Redza.

"Dia memang baik, cuma dia fikir kasih sayang dia banyak sangat, jadi dia rasa tak cukup satu isteri. Bagi saya, lelaki itu pun rasa diri dia diperlukan oleh wanita selain isteri dia.

"Tajuk dia Wanita Syurga. Pada awalnya, watak saya tak bertudung. Saya harap, orang tak tengok sudut itu. Bukan saja cinta, tapi kekeluargaan," katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman terbesar bergandingan dengan Redza dalam Wanita Syurga, Siti berkata, dia benar-benar menampar Redza.

"Ada satu babak yang menjadi kemuncak. Dia nak rasa dan saya pun nak rasa. Saya tak pernah lempang orang kalau bergaduh sekalipun. Sebab itulah nampak kekok sedikit. Tapi, pengarah kata okay jadi okaylah.

"Selepas babak itu, memang saya minta maaf. Semua dalam pasukan ini memang mudah rapat seperti kawan-kawan. Sebelum berlakon babak itu, saya akan panaskan badan, lari setempat, minum air dan fokus. Itu semua asas lakonan," katanya.

Berkongsi mengenai kehidupan peribadinya, Siti baru-baru ini dilihat menitipkan komen di media sosial pelakon, Aniq Suhair yang pada ketika itu berada di Makkah.

Komen itu menarik perhatian ramai kerana ia adalah doa agar dikurniakan jodoh.

"Saya kalau nampak kawan-kawan ke sana, saya akan minta mereka doakan. Saya berkawan dengan Aniq dan kebetulan dia di sana.

"Saya fikir dua kali juga, kalau saya bagi doa yang panjang, macam spesifik dan pelik sangat. Jadi, saya minta dia doakan saya dapat jodoh.

"Saya dengan dia memang kawan saja. Tapi, saya tak tolak apa-apa sahaja ketentuan Allah," katanya.

Ditanya mengenai persediaan untuk menamatkan zaman bujang, Siti nampaknya sudah bersiap sedia lebih-lebih lagi apabila dikelilingi sahabat yang sudah berumah tangga.

"Saya dah 27 tahun. Mungkin kerana satu matlamat saya adalah untuk berkeluarga selain karier. Saya nampak kawan-kawan saya semua dah berkahwin dan ada anak. Cuma saya belum lagi.

"Mungkin ada, cuma saya tak nampak. Sebab saya sejenis yang agak 'abang-abang'. Jadi, mungkin tak digemari beberapa individu.

"Saya pilih juga jodoh yang datang sebab kena tapis. Dia kena matang, lebih berusia daripada saya, kewangan dan emosinya stabil," katanya.

Kerap dilihat bersendirian, Siti akui selesa dengan kehidupannya dan jika ada yang ingin mendekatinya, individu itu juga perlulah seorang yang kuat dan dominan sepertinya.

"Saya kuat sendirian, jadi saya perlukan orang yang kuat juga untuk bersama saya. Sebenarnya, sebelum di tahap ini pun, orang cakap saya sombong sebab selalu sendirian. Tapi, sekarang saya keluar sendirian, orang cakap saya menginspirasi orang.

"Saya akan keluar bila rasa selamat. Saya nak inspirasikan kepada wanita di luar sana untuk berani keluar. Ketenangan itu adalah mahal. Saya lebih selesa sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 6:00 AM