NAIM Daniel akui timba ilmu di sekolah dan SPM penting.
NAIM Daniel akui timba ilmu di sekolah dan SPM penting.
Norhayati Nordin

TINDAKAN segelintir selebriti muda dan pempengaruh media sosial yang tidak sensitif pada 'content' dihasilkan mengundang pelbagai reaksi ramai.

Pandangan mengenai kepentingan menimba 'ilmu' serta sesi pembelajaran di sekolah yang membosankan dan dipertikaikan dibantah pelbagai pihak termasuk kelompok selebriti tersohor tanah air.

Bagi komposer dan penyanyi terkenal, Naim Daniel, 27, proses menimba ilmu penting terutama di sekolah dan ia tidaklah sampai membosankan sebagaimana luahan yang tular di media sosial.

"Saya kesal dan marah dengan tindakan segelintir selebriti juga pempengaruh yang membuat video secara langsung di media sosial membahaskan isu tidak sepatutnya bagi menarik tontonan umum.

"Sebagaimana kenyataan daripada pempengaruh yang menganggap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak penting, termasuk mendakwa pergi ke sekolah menimba ilmu membosankan kerana tetapi boleh berjaya dalam hidup," katanya.

Penyanyi lagu Sumpah dan Purnama ini berkata, menimba ilmu dan ke sekolah itu penting untuk masa depan kerana tidak semua orang boleh buat 'podcast', seterusnya berjaya dengan hanya menghasilkan video di media sosial.

"Saya sebenarnya seram juga sebab kebelakangan ini ramai orang buat podcast berkaitan menimba ilmu dan belajar seolah tidak penting serta membosankan. Malah, turut mendakwa sijil SPM itu tiada nilai.

"Sedih sangat sebab saya dulu pun pernah ambil SPM dan sambung belajar hingga universiti sebab tahu ilmu itu penting. Tidak kisahlah apa kerjaya kita, mesti kena ada ilmu dan semuanya bermula di sekolah," katanya ditemui baru-baru ini.

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, bukan senang-senang boleh kata pergi ke sekolah itu kosong melainkan individu berkenaan memang malas. Lagi pula, ramai saja orang yang berjaya di sekolah.

Mengulas garis panduan pengendalian siaran langsung di media sosial dan podcast, Naim berkata, ia harus diwujudkan oleh pihak berkuasa berkaitan agar dapat memantau bagi menapis setiap isu dibahaskan itu mempunyai maklumat bermanfaat untuk tontonan.

"Saya rasa adalah wajar satu garis panduan khusus diwujudkan kepada sesiapa yang menghasilkan video siaran langsung di media sosial termasuk podcast yang memberi ruang sesuatu isu dibahaskan agar perbincangan itu tidak tersasar.

NAIM popular sebagai penyanyi, komposer dan pelakon.
NAIM popular sebagai penyanyi, komposer dan pelakon.

"Ini kerana, pada masa sekarang kebanyakan golongan muda masa kini memberi tumpuan mereka di media sosial serta podcast. Jadi, sekiranya video dihasilkan itu tidak ditapis penyiarannya, dibimbangi akan memberi pengaruh negatif kepada penonton.

"Lebih-lebih lagi, kita faham ramai golongan muda yang 'struggle' dalam pelajaran terutama adik-adik yang menduduki dan akan menduduki peperiksaan SPM. Mereka pastinya perlukan sokongan-sokongan positif untuk lebih bersemangat," katanya.

Naim berkata, etika ketika bersiaran langsung di media sosial dan podcast perlu diutamakan kerana tidak mahu akibat nila setitik, rosak susu sebelanga, di mana, seorang yang buat dan impaknya terkena pada semua kerana dipukul sama rata.

Jadual kerja sangat padat>

Turut aktif sebagai pelakon, Naim dikatakan sudah lama tidak muncul membintangi drama dan kelibatnya dinanti-nantikan, termasuk dirindui ramai kerana lakonan yang berkesan.

Naim berkata, dia masih menerima tawaran berlakon, namun terpaksa selektif watak kerana jadual kerja yang padat dalam nyanyian serta penghasilan lagu dan kerja-kerja di studio.

"Saya masih nak berlakon lagi, cuma kena tengok watak yang betul-betul sesuai. Ini kerana, saya dah tak boleh nak berada terlalu lama di set penggambaran, sebab terikat juga dengan persembahan nyanyian.

"Jadi, saya perlu membahagikan masa dengan sebaiknya dalam karier sebab jadual kerja yang agak padat. Saya tidak mahu sampai terkejar-kejar dan itu akan jadi lebih penat. Kesihatan pun perlu dijaga," katanya.

Naim berkata, dia sentiasa ingin memastikan semua urusan kerjanya lancar tanpa memberi masalah kepada pihak lain seperti penerbit, produksi dan penganjur majlis hiburan yang menginginkan khidmatnya.

"Saya bersyukur dengan segala rezeki diperoleh yang tidak putus-putus. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang sudi memberi peluang kepada saya dan sangat menghargainya. Saya cuba pastikan dapat memberi yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 6:01 AM