AWAL semakin tenang, lebih matang urus sesuatu krisis berkaitan peribadi serta karier.
AWAL semakin tenang, lebih matang urus sesuatu krisis berkaitan peribadi serta karier.
Norhayati Nordin


Mengecap tempoh dua dekad atau 20 tahun terus aktif dalam karier seni bukan mudah bagi Awal Ashaari. Pelbagai suka duka, 'permainan' industri hiburan perlu sedia dihadapi meskipun ia berbaur krisis yang mampu menggugat reputasi.

Pelakon yang juga pengacara terkenal berusia 43 tahun ini berkata, banyak pengajaran hidup diperolehnya selepas melalui pengalaman mencabar sebagai anak seni yang disifatkan lembaran pelajaran untuk menjadi lebih matang.

Mengimbau kisah lalunya di awal kemunculan pada 2004, Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, dia yang dulu adalah seorang cepat melenting dan mudah marah apabila terkait dengan sesuatu krisis berkaitan peribadi dan karier.

"Tak dinafikan ketika itu apabila kita lebih meletakkan emosi dalam perbuatan, ia secara tidak langsung menampakkan ketidakmatangan diri dan perkara itu tidak bagus sebenarnya sebab akan 'backfire' (serang balik) pada kita semula.

"Saya mengaku awal pembabitan masa mula-mula jadi anak seni, saya cepat melenting dan cepat sangat nak marah apabila timbul masalah atau isu yang terkait dengan diri. Saya tidak tenang dan kurang selesa menghadapinya.

"Tapi, sepatutnya ketika itu lebih baik kalau saya dapat 'tackle' dengan cara betul. Ia pasti memberi satu jalan penyelesaian cukup mudah serta menampakkan kematangan diri dalam berfikir," katanya pada Program Bual Bicara: Menangani Krisis, Membina Reputasi, baru-baru ini.

Terdahulu, Awal hadir sebagai ahli panel dalam program anjuran pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bersama usahawan selebriti, Noor Neelofa dan Naib Presiden Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad.

Menurut Awal yang selesa meletakkan dirinya sebagai 'milik masyarakat' mengakui, pancaroba hidup anak seni apabila diuji krisis boleh berlaku bila-bila masa yang mana isu timbul disebabkan kekhilafan diri dan tersilap langkah.

WAL bersyukur masih aktif dalam karier pengacaraan.
WAL bersyukur masih aktif dalam karier pengacaraan.

"Jadi, ketika melalui krisis ini sewajarnya tenangkan diri dan guna cara betul untuk menyelesaikannya. Tidak perlu terlalu 'defensif' sebab masyarakat tak mahukan itu selain perasaan kesal dan insaf kita untuk tidak mengulanginya lagi.

"Pernah berlaku dulu-dulu, pergi berhibur di kelab dan tertangkap dengan lampu sorot yang menunjukkan bayangan diri, tapi tak nak mengaku. Jadi, jangan cuba 'defensif' macam itu sebab memang sah kita buat dan mengaku saja serta mohon maaf," katanya.

Menurut bapa dua anak ini, seiring pengalaman dan usia meningkat matang, dia kini lebih selesa merujuk kepada individu terdekat dengannya seperti isteri, keluarga dan rakan media yang memahami ekosistem bidang penyiaran sebelum bertindak.

"Alhamdulillah, sekarang saya tenang dalam menghadapi apa saja krisis dan tidak mengganggu reputasi karier. Isteri saya, Scha dan keluarga banyak beri semangat serta rakan media yang membantu," katanya.

Pada majlis diskusi itu, hadir sama Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Prof Dr Kadaruddin Aiyub dan pensyarah kursus Komunikasi Krisis merangkap Penyelaras Strategi FSSK, Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.

Majlis berlangsung di Dewan Perdana FSSK, turut dimeriahkan oleh Kaka Azraff yang menyanyikan lagu Bawa Aku Pergi, termasuk beberapa pameran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

KELUARGA bahagia Awal dan Scha bersama dua anak perempuan mereka.
KELUARGA bahagia Awal dan Scha bersama dua anak perempuan mereka.

Scha tegas didik anak

Bertemu jodoh dengan wanita pilihan juga selebriti, Scha Al-Yahya pada 2012, Awal berkata, dia bersyukur isterinya agak tegas dalam mendidik anak-anak berbanding dirinya yang lebih suka berlembut.

Sebagai ibu bapa, menjadi peranan utama kami dalam pendidikan awal anak di rumah dan Scha menggalasnya sangat baik untuk membentuk adab, kesopanan diri dan sikap hormat dalam diri Lara Alana, 10, dan Lyla Amina, 3.

"Saya dan Scha sangat melihat betapa pendidikan penting dan tidak mahu anak-anak kami ketinggalan. Jadi, kami menitikberatkan pelajaran dan tidak begitu mendedahkan mereka dengan kehidupan selebriti.

"Macam Lara sendiri, dia hanya tahu Scha sebagai model dan setiap kali melihat ibunya berdandan cantik, mesti katanya dah besar nanti nak jadi macam ibu. Kemudian dia teringin nak kerja lain juga.

"Tapi, kami berdua suka memberi galakan dan semangat kepada anak-anak. Apa yang mereka minat selagi ia membawa kebaikan untuk masa depan, okay buatlah. Setakat ini, Scha agak tegas dan amat bagus dalam mendidik anak," katanya.

Baru-baru ini, Awal juga meluahkan rasa kecewa dengan pandangan seorang penyanyi muda serta pempengaruh media sosial yang mendakwa menjalani pembelajaran di sekolah tidak penting apabila dia kini tetap boleh berjaya dalam hidup tanpa pendidikan formal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 6:20 AM