MARGASATWA ingin puaskan hati dengan karya tulin sendiri. - FOTO Fathil Asri
MARGASATWA ingin puaskan hati dengan karya tulin sendiri. - FOTO Fathil Asri
Georgie Joseph


Kumpulan Margasatwa percaya kepuasan untuk diri dalam berkarya harus diutamakan berbanding memuaskan hati orang. Barulah landasan mereka betul ke arah menjadi lebih tulen.

Margasatwa yang dianggotai Kimal sebagai penyanyi, Fadhil Imran James (gitar utama), Shahir Samsi (gitar kedua), Shadiq Sapian (bass) dan Syahir Majid (dram) tidak lain mahu terus teguh dengan identiti sendiri.

Ketulenan yang diperjuangkan mereka akan menjadi penggerak utama ke mana hasil capaian karyanya. Kimal yakin, pendengar berhak mendapat versi muzik yang terbaik daripada Margasatwa.

"Pada kami, biar kami yang terlebih dulu seronok dengan karya kami. Kami tak fikir sama ada ia indie atau arus perdana, orang terima atau tidak. Kami percaya orang pertama yang harus rasa ia 'best' adalah kami berlima.

"Kalau orang menerimanya bermakna kami sudah beri keadilan kepada karya itu. Kami berjaya sampaikan yang terbaik seperti kami rasa. Bukannya nak turuti apa yang mereka suka.

"Saya percaya dengan pendengar-pendengar kami yang tulen, mereka memang sukakan apa kami buat. Secara tidak langsung, menarik lebih ramai akan suka karya kami," katanya.

Melancarkan lagu baru berjudul Kasa Rubia baru-baru ini, kedudukan nama kumpulan ini dalam industri muzik sebenarnya masih samar-samar, terutamanya untuk pasaran arus perdana.

Kimal tidak menafikan perkara itu dan tidak salahkan pun jika peminat belum mampu menyerap corak karya mereka.

Justeru, Margasatwa tidak akan berhenti untuk terus memikat lebih ramai mendengar mereka.

"Mereka kurang pemahaman mengenai apa yang kami cuba sampaikan. Perkara itu banyak menyelesaikan masalah. Kami tak ambil hati dan anggap mereka belum kenal. Mungkin kami perlu keluarkan banyak lagi karya.

"Lama-kelamaan mereka akan faham dan tahu konsep apa yang kami bawa sebab kalau tak ada pengenalan, macam mana nak bercinta? Kiranya begitulah. Kalau tak kenal, susahlah nak bina hubungan itu," katanya.

Untuk mengambil hati mengenai komen negatif terhadap konsep mereka, menurut Kimal, tidak patut pun. Dia sendiri faham hal itu bila meletakkan dirinya dalam pemikiran seorang peminat.

"Sebenarnya kalau kita berfikir dari sudut orang yang melihat dan mendengar, kami mungkin lebih tenang untuk menghadapi komen-komen

atau kecaman. Kami anggap mereka kurang pendedahan," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai komen-komen nakal, Shahir yakin puncanya adalah orang tidak mengkaji mengenai mereka. Sebaliknya terus melontarkan idea buta dan berunsur negatif.

"Pada saya, komen-komen itu sekadar menggelikan hati tapi tak adalah sampai tersentap. Contohnya penerbit dipersoal kenapa ambil kami, 'hauk', kurang bajet dan sebagainya. Sebenarnya Margasatwa ini sudah sempurna.

LAGU Kasa Rubia jadi taruhan dalam album kedua. - FOTO Fathil Asri
LAGU Kasa Rubia jadi taruhan dalam album kedua. - FOTO Fathil Asri

"Pendengar nak apa? Nak pop, blues, jazz, keroncong, semua kami buat. Tapi sikap rakyat kita, ramai tak suka mengkaji. Mereka cuma tengok permukaan dan tak kaji latar belakang, album pernah dihasilkan.

"Jadinya, sikap ini tak patutlah seperti terus jatuh hukum, kecam, pandangan peribadi, komen negatif," katanya.

Menurut Shadiq pula, mereka tidak goyah malah makin bersyukur kerana kalau terima kecaman bermakna orang ambil berat. Paling penting untuk mereka hanyalah teruskan perjuangan muziknya.

"Tapi okay juga sebenarnya dapat komen-komen negatif itu khususnya. Apabila sudah ada 'haters', tandakan kami sudah berjaya. Namun kejayaan untuk kami berlima belum cukup lagi. Tak sampai lagi.

"Manusia tak pernah puas, terima saja dan kami hanya buat perkara yang kami minat. Tidak menjejaskan fikiran kami langsung dan cuma mahu lakukan apa yang kami sangat inginkan. Ini profesion kami dan lakukan apa yang sangat kami inginkan," katanya.

Lancar album kedua pertengahan tahun ini

Dalam pada itu, Margasatwa juga teruja bakal melancarkan album keduanya berjudul Seribudaya. Ia memuatkan 11 lagu keseluruhannya dan dijangka akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

"Album itu masih dalam pembikinan. Selagi belum ada tarikh pelancaran, kami anggap masih lagi tengah siapkan. Baik dari segi reka bentuk, muziknya, lagu dan liriknya.

"Selagi belum ada sebarang ketetapan, apa-apa boleh berlaku. Kami cuma mahu menikmati proses itu, buat betul-betul. Ada lagu yang belum dirakam, tapi jangkaannya dalam tahun ini dilancarkan," kata Kimal.

Lagu Kasa Rubia menjadi pertaruhan sulung album itu yang mana turut mendapat sentuhan penyanyi hebat, Loque selaku penerbit. Kimal akui, lagu terbabit cukup memberi makna tersendiri.

"Sepanjang perjalanan menghasilkan lagu ini, ada antara kami kematian orang tersayang. Maka seluruh jiwa dan raga serta air mata disertakan bersama lagu ini untuk diselami semua peminat kami dan seluruh dunia," katanya.

Apabila ditanya mengenai maksud lagu ini, Kimal berkata, dia lebih suka jika pendengar buat tafsiran mengikut kefahaman masing-masing kerana ia akan lebih bermakna.

"Namun jika ada yang boleh dikongsikan, lagu ini menceritakan mengenai cinta dan harmoni. Kehidupan dan muzik punyai persamaan, kedua-duanya perlu kepada harmoni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 6:00 AM