Putrajaya: Kementeria Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan lima strategi utama bagi memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia kini sedang menghadapi peningkatan kes Covid-19 mendadak, namun keadaan masih terkawal.

Katanya, 20,696 kes baharu Covid-19 direkodkan sepanjang Minggu Epidemiologi 50 iaitu pada 10 Disember sehingga 16 Disember lalu.

"Bagi menghadapi lonjakan kes Covid-19 ketika ini, KKM telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Strategi pertama adalah pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2 manakala strategi kedua adalah pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS iaitu Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek).

Sementara itu, strategi ketiga adalah pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi dan strategi keempat adalah pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan.

Katanya, strategi kelima adalah pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera.

KKM berharap situasi ini dapat ditangani tanpa perlu mengulangi sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

Berita berkaitan:

Covid-19: Kerajaan tidak cadang laksana PKP

Vaksin Covid-19: 'Nak buat temujanji boleh, nak walk-in boleh'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 4:28 PM