TCHETCHE dakwa KL City gagal mendapatkan permit kerja untuk dia beraksi di Liga M, musim ini. FOTO FB KL CITY
TCHETCHE dakwa KL City gagal mendapatkan permit kerja untuk dia beraksi di Liga M, musim ini. FOTO FB KL CITY
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bukan sekadar gaji tidak dibayar selama tiga bulan, malah status penyerang import Kuala Lumpur City (KL City) FC, Kipre Tchetche sepanjang beraksi di Liga Malaysia (Liga M) musim ini umpama 'tetamu tidak diundang'.

Ia susulan pengurusan KL City didakwa gagal memohon permit kerja buat Tchetche sepanjang musim ini untuk beraksi di Liga M, sekali gus ayam tambatan dari Ivory Coast itu hanya menggunakan visa pelancong yang sudah tamat tempoh pada awal tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili Tchetche, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid apabila mengesahkan pemain itu sudah mengkomunikasikan penamatan kontrak pada 6 Disember lalu selepas tiga bulan tidak dibayar gaji dari September, Oktober dan November.

Jelas Syed, hasil semakan pihaknya mendapati Tchetche berpotensi untuk disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ekoran ketiadaan permit bekerja di negara ini dan tinggal lebih tempoh yang dibenarkan iaitu selama 90 hari.

PEGUAM yang mewakili Tchetche, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid.
PEGUAM yang mewakili Tchetche, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid.

"Kita sudah hantar surat 'termination' kepada KL City bagi menamatkan kontrak lebih awal apabila kontrak Tchetche sepatutnya berakhir hujung Disember ini. Kita hantar surat itu pada 6 Disember lalu.

"Tchetche sudah tiga bulan tidak dibayar gaji dan dia mahu pulang ke negaranya, tetapi pasport pula dipegang oleh pengurusan KL City.

"Hari ini (semalam) dia baru dapat pasport dan bercadang untuk pulang berehat sementara waktu.

"Tetapi ada masalah baru yang timbul apabila KL City tidak pernah menyempurnakan permit kerja buat Tchetche, jadi bermakna Tchetche selama ini tidak tahu dia bermain atau bekerja di sini tanpa permit kerana ia diuruskan sepenuhnya pengurusan kelab.

"Jadi isunya sekarang dia mungkin disenarai hitamkan oleh pihak Imigresen atas kesalahan itu. Bila jadi begitu, ia menyusahkan Tchetche untuk masuk semula bermain pada musim depan apabila ada beberapa pasukan menawarkan kontrak kepadanya untuk musim depan.

"Kita sudah menghantar surat rayuan kepada Ketua Pengarah Imigresen pada hari ini (semalam) dengan sebab tertentu apabila ia bukan atas kesilapan Tchetche, sebaliknya majikan yang gagal mendapatkan permit.

"Kita harap rayuan itu diterima dan dia dapat meneruskan usaha mencari rezeki di sini pada musim depan," katanya kepada Arena Metro.

Ujar Syed lagi, pihaknya turut akan membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengenai isu terbabit serta menuntut tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak yang perlu dijelaskan KL City.

"Selewat-lewatnya Jumaat (esok), kita akan hantar surat kepada Fifa untuk menuntut tunggakan gaji Tchetche serta bayaran lain seperti pampasan, bayaran pendahuluan, bonus dan lain-lain.

"Nilai keseluruhan hampir setengah juta dan memandangkan Tchetche adalah pemain import, kita terpaksa mengheret perkara ini ke Fifa bagi menuntut semua itu.

"Saya dimaklumkan oleh Tchetche sememangnya ada tawaran penyelesaian (bayaran ansuran) secara berperingkat, tetapi Tchetche menolaknya kerana sering kali dijanjikan pembayaran sebelum ini, namun gagal dilaksanakan KL City.

"Pembayaran gaji secara selektif yang mengutamakan pemain berada di dalam perancangan KL City bagi musim hadapan turut mengecewakannya. Perkara ini tidak adil buat Tchetche yang sudah memberi sepenuh tenaganya untuk pasukan," katanya.

Untuk rekod, KL City antara kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan untuk bersaing di Liga M musim depan selepas melepasi syarat ditetapkan oleh badan bebas First Instance Body (FIB), antaranya tiada isu tunggakan gaji dan lain-lain.

Skuad The City Boys dianggap antara pasukan terkuat Liga M sejak tiga musim lalu apabila muncul juara Piala Malaysia 2021 selain naib juara Piala AFC pada 2022 dan naib juara Piala FA, Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 7:20 PM