MOHD Halim dan guru-guru membantu membersihkan kepala murid yang berkutu. FOTO Mohd Halim Mohamad Zaid.
MOHD Halim dan guru-guru membantu membersihkan kepala murid yang berkutu. FOTO Mohd Halim Mohamad Zaid.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Ini rutin cikgu-cikgu di sini," kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Balar Gua Musang, Kelantan, Mohd Halim Mohamad Zaid, 44.

Kisah guru ini tular apabila video yang dikongsikan di TikTok yang memaparkan dia bersama guru lain membersihkan kutu murid di sekolah itu meraih perhatian pengguna laman sosial.

Mohd Halim yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Seni Visual (PSV) dan Muzik berkata, aktiviti mereka itu lebih pada mahu menyantuni murid yang juga anak Orang Asli.

"Anak-anak polos ini kami santuni macam anak sendiri. Itu memang rutin kami. Cuma tak tentu. Tapi dalam setahun kerap juga. Kadang tak rancang pun.

"Nampak seorang macam berkutu saja, kami terus buat operasi. Cikgu di sini sangat prihatin. Lagi pun ramai yang tinggal di asrama. Bukan cikgu saja, tapi kakitangan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) juga sangat ambil berat.

"Ada ketika kami akan bawa mereka ke sungai sambil mandi manda. Kami bawakan syampu dan mereka syampu rambut.

"Murid di sini okay saja. Tidak ada apa-apa masalah. Cikgu pun okay. Tiada kata arahan wajib buat tak. Ini semua atas kerelaan sendiri. Kita anggap macam anak sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat anak-anak dari suku Temiar itu seronok dan tersenyum.

Menurutnya, kebanyakan masa dihabiskan di bersama murid dan tidak terhad pada waktu persekolahan saja.

"Kalau nak kata mereka mempunyai masalah berkutu, tak juga. Bukan mereka nak sebenarnya. Lagi pula mereka ini bukan macam kita di bandar.

"Kita dulu zaman kecil pun ada juga masalah kutu. Saya masa kecil pun ada. Sebab kita rasa boleh tolong sikit-sikit apa salahnya bantu.

"Kami ini 24 jam di sekolah sebenarnya. Kami beramai-ramai borak dan main bola dengan murid, budak perempuan di sini main permainan macam zaman kita kecil dulu iaitu main batu seremban dan getah. Jadi, kita melayan mereka kalau ada masa.

"Kami juga akan ke rumah anak murid Orang Asli untuk ziarah, bertanya khabar mereka sambil kenal rapat dengan keluarga serta kenal budaya mereka," katanya.

Menurutnya yang sudah tiga tahun berkhidmat di sekolah itu berkata, dia akan pulang ke rumah di Kota Bharu, Kelantan pada setiap hujung minggu.

"Saya baharu tiga tahun di sini. Nak kata jatuh cinta dengan sekolah pedalaman, saya positif saja. Pergi mana-mana saya positif saja.

"Kalau kerja di bandar lengkap dengan segala hal pun tapi kerja asyik merungut itu ini pun tak guna juga kan.

"Saya memang akan balik KB setiap minggu. Isteri dan anak-anak di sana. Cuma minggu ini saja tak balik sebab minggu depan dah mula cuti sekolah. Rasa serba salah nak balik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 8:02 PM