SERANGAN bom di bandar Gaza oleh tentera Israel. FOTO AFP
SERANGAN bom di bandar Gaza oleh tentera Israel. FOTO AFP
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri yang juga siswazah di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) bersama empat anak mereka meninggal dunia akibat serangan bom rejim Zionis di Gaza, Palestin, kelmarin.

Usim dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya sejam yang lalu berkata, perkara itu disahkan oleh Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H M Mahariq.

"Usim melahirkan rasa dukacita di atas pemergian dua siswazah dan lebih 20 orang ahli keluarga mangsa akibat serangan bom rejim zionis di Gaza, Palestin pada pagi Ahad yang lalu.

"Salam takziah daripada seluruh warga Usim, moga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang beriman," kata kenyataan itu.

USIM dalam kenyataan sama turut memaklumkan, serangan bom itu berlaku di perkampungan didiami mereka, di Bait Hanon kira-kira 8 pagi, Ahad lalu.

"Dalam kejadian itu, hanya seorang anak mangsa dilaporkan terselamat.

"Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Badereddin Seyam, turut terkorban adalah 20 ahli keluarga mangsa," katanya.

Tambahnya, Mohammed J H Alzaanin baharu sahaja selesai menjalani sesi viva di Usim pada 5 Julai lalu, manakala isterinya dijadualkan menduduki ujian sama pada 23 Oktober depan.

Dalam pertempuran yang bermula Sabtu lalu, jet Israel terus mengebom kawasan Palestin di Bandar Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 560 orang termasuk berpuluh-puluh kanak-kanak terbunuh, manakala 2,900 orang cedera, demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 12:34 AM