BERNAMA

Gopeng: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang meletakkan pembelian bersyarat terhadap barangan kawalan seperti minyak masak paket dan gula.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata pihaknya menerima 71 aduan berkaitan pembelian bersyarat di seluruh negara sejak awal tahun ini.

"Bagi mana-mana orang perseorangan yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pertubuhan perbadanan pula boleh didenda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan kedua didenda tidak melebihi RM5 juta," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan RAHMAH Bergerak dan Aduan Suri Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

FUZIAH (tiga, kiri) menyampaikan Bakul Rahmah kepada penerima terpilih pada Majlis Perasmian Program Jualan Rahmah Bergerak dan Aduan Suri Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng. FOTO BERNAMA
FUZIAH (tiga, kiri) menyampaikan Bakul Rahmah kepada penerima terpilih pada Majlis Perasmian Program Jualan Rahmah Bergerak dan Aduan Suri Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng. FOTO BERNAMA

Beliau berkata daripada 71 aduan itu, sebanyak 17 kes telah diambil tindakan manakala enam lagi dalam siasatan di bawah akta berkenaan.

Fuziah sehubungan itu, meminta orang ramai mengemukakan aduan sekiranya terdapat pembelian barangan kawalan yang dikenakan syarat, kebiasaannya melibatkan minyak peket, gula dan tepung gandum.

Media baru-baru ini melaporkan KPDN Perak menyerbu sebuah premis perniagaan di Batu Gajah pada 25 Ogos lepas kerana menjual gula pasir secara bersyarat.

Sementara itu, ditanya mengenai laporan mendakwa bekalan minyak masak peket satu kilogram sukar didapati di Negeri Sembilan dan Melaka, beliau berkata terdapat pasukan khas yang menjalankan siasatan sekiranya berlaku ketirisan berhubung aduan berkenaan.

Beliau berkata kementerian dalam proses mewujudkan mekanisme bagi minyak masak subsidi bersasar secara berperingkat mulai tahun hadapan bagi memastikan ia diterima secara terus kepada golongan yang layak.

"Kita sedang membuat keputusan berkaitan isi rumah yang layak menerima subsidi bersasar ini sama ada golongan B40 atau M40 serta industri-industri mikro yang menjual pisang goreng dan ayam goreng yang menjual di pasar malam dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 1:24 PM