LOKE menziarahi keluarga Allahyarham Sharipuddin di Elmina, di Taman Desa Vista, BBST hari ini. FOTO ihsan pembaca
LOKE menziarahi keluarga Allahyarham Sharipuddin di Elmina, di Taman Desa Vista, BBST hari ini. FOTO ihsan pembaca
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Saya sudah melihat gambar jenazah arwah suami melalui 'slide' yang ditunjukkan pihak hospital namun setakat ini tidak mahu kongsikan dengan pihak luar dan biarlah ia menjadi rahsia," kata Suriana Muda.

Suriana, 43, adalah isteri kepada pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 53, yang maut selepas keretanya dilanggar pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, kelmarin.

Suri rumah itu berkata, dia akan simpan 'rahsia' itu sepanjang kehidupannya.

Menurutnya, mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu dan sabar menunggu jenazah dikeluarkan untuk dikebumikan.

Katanya, dia juga sudah memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab untuk menguruskan pengebumian suami berdekatan tempat kediaman di Tanah Perkuburan Islam Sultan Hishamuddin di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST).

"Ahli keluarga juga sudah sepakat dan membuat keputusan tidak memilih pengebumian satu liang lahad yang disarankan pihak bertanggungjawab. Ini bagi memudahkan kami menziarahi kubur arwah yang berdekatan dengan kediaman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arwah Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis meninggalkan dua anak yang masih bersekolah iaitu Muhammad Sharul Izuan, 16, dan Nur Izzara Arissya, 9.

Sebelum ini media melaporkan, semua waris diberikan hak untuk mengebumikan jenazah individu tersayang di mana saja termasuk di kampung halaman masing-masing.

Suriana berkata, pada masa ini dia hanya memikirkan masa depan dua anak yang masih bersekolah dan dia juga tidak bekerja dan tinggal di rumah sewa.

Menurutnya, dia turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang sudi hadir menziarahi mereka sekeluarga hari ini.

"Saya juga berbesar hati kerana Loke ada menyatakan pihaknya bersedia membantu kebajikan keluarga dan anak-anak yang akan diuruskan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan (DUN) Sungai Pelek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 12:41 PM