DAGING biawak air dan babi hutan yang dikesan dijual secara haram di Pasar Awam Seremban, Negeri Sembilan. FOTO Ihsan PERHILITAN
DAGING biawak air dan babi hutan yang dikesan dijual secara haram di Pasar Awam Seremban, Negeri Sembilan. FOTO Ihsan PERHILITAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Jika Pasar Tomohon di Sulawesi, Indonesia terkenal kerana menjual pelbagai daging haiwan liar, aktiviti sama turut dikesan dilakukan secara 'sorok-sorok' di Pasar Awam Seremban, Negeri Sembilan.

Kegiatan itu dibongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia merampas sejumlah daging biawak dan daging babi hutan yang dijual di pasar berkenaan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sepasukan pegawainya bertindak melakukan pemeriksaan mengejut di salam sebuah premis di pasar itu pada jam 12 tengah hari, Rabu lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan kemudian menemui lebih 1 kilogram daging biawak air, sekitar 800 gram kulit babi hutan dan hampir 20 kilogram daging babi hutan.

"Semua daging hidupan liar itu dikesan disimpan dan dijual tanpa lesen yang sah daripada Jabatan Perhilitan.

"Seorang peniaga berusia 50-an yang disyaki menjual daging haiwan itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Seremban 2 untuk siasatan," katanya.

LONGGOKAN bangkai babi hutan yang dipercayai mahu dilapah di sebuah premis di Hutan Melintang, Perak. FOTO Ihsan PERHILITAN
LONGGOKAN bangkai babi hutan yang dipercayai mahu dilapah di sebuah premis di Hutan Melintang, Perak. FOTO Ihsan PERHILITAN

Kadir berkata, dalam satu lagi kes berasingan, Perhilitan turut membongkar sindiket pemburu haram hidupan liar susulan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Utara di Hutan Melintang, Perak.

Dalam operasi jam 4.30 petang, kelmarin, empat pegawai Perhilitan dibantu enam anggota polis menyerbu sebuah premis sebelum menahan tiga lelaki tempatan.

"Ketika ditahan, suspek didapati sedang memunggahkan bangkai babi hutan ke dalam sebuah kereta Proton Wira.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di premis dan kenderaan itu menemui sembilan ekor bangkai babi hutan yang dipercayai mati dijerat, berpuluh bungkusan berisi tulang babi hutan, jerat kabel dan 13 kelongsong peluru penabur.

"Semua babi hutan itu dipercayai diburu dan dibunuh secara haram sebelum dagingnya dilapah untuk dijual. Premis itu dijadikan markas pusat sembelihan berikutan turut terdapat peti sejuk besar di dalamnya," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek jelas melakukan kesalahan kerana memiliki bahagian hidupan liar, jerat tanpa lesen dan permit mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Pindaan 2022 (Akta A1646).

"Susulan itu semua mereka ditahan dan bahagian hidupan liar bernilai RM30,000 itu dirampas. Operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan Perhilitan bagi membenteras jenayah pemerdagangan hidupan liar," katanya.

Musang pandan hidangan eksotik 'VIP' negara jiran

Mampu dijual untuk hidangan makanan eksotik 'VIP' mencecah harga ratusan ringgit di negara jiran.

Ini antara punca daging musang pandan (civet cat) tempatan mendapat permintaan tinggi dikalangan peniaga makanan eksotik khususnya di Thailand ataupun Vietnam.

Kegiatan penyeludupan daging musang pandan ke negara jiran terbongkar apabila seorang wanita berusia 41 tahun diberkas ketika cuba menyeludup daging haiwan itu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar, Perlis.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tindakan suspek dibongkar pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang bertugas di ICQs.

MUSANG pandan yang sudah siap dilapah dan cuba diseludup ke negara jiran melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar, Perlis. FOTO Ihsan PERHILITAN
MUSANG pandan yang sudah siap dilapah dan cuba diseludup ke negara jiran melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar, Perlis. FOTO Ihsan PERHILITAN

Menurutnya, dalam kejadian jam 11 pagi kelmarin, lima pegawai Perhilitan bergegas ke ICQs selepas menerima maklumat daripada pegawai kastam yang menahan sebuah kereta mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta Perodua Myvi dipandu wanita berasal dari Kangar, Perlis itu menemui empat ekor musang yang sudah mati.

"Semua musang pulut itu dipercayai dijerat sebelum dibunuh dan dilapah kulitnya. Perhilitan percaya haiwan itu mahu dijadikan hidang eksotik di negara jiran," katanya.

Beliau berkata, semua daging haiwan itu dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 8:00 AM