JIBEK jadi peneman setia  Azhan Dziaruddin yang gemarkan aktiviti pendakian.FOTO Ihsan Azhan Dziaruddin
JIBEK jadi peneman setia Azhan Dziaruddin yang gemarkan aktiviti pendakian.FOTO Ihsan Azhan Dziaruddin
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Jibek cukup istimewa malah bukan sembarangan kucing kerana pernah 'menawan' 40 bukit dan gunung dalam negara.

Pemiliknya, Azhan Dziaruddin, 41, adalah individu yang membawa Jibek meneroka dan melihat dunia luar hingga jadi lali dengan aktiviti berkenaan.

Menurut Azhan, Jibek yang juga kucing jantan berusia enam tahun menjadi peneman setianya di rumah dan setiap kali mendaki sejak 2017.

Katanya, aktiviti itu merapatkan lagi hubungan antaranya dan Jibek yang dipeliharanya sejak berusia tiga bulan.

"Saya memang pencinta kucing sejak kecil lagi cuma ketika tinggal di rumah keluarga dulu tak dapat nak bela.

"Jadi, apabila tinggal rumah sewa, dapatlah saya bela dan mahu pelihara kerana nak cari peneman memandangkan tinggal sendiri.

"Pada satu hari, saya jumpa Jibek dan seekor lagi kucing di kawasan pangsapuri dekat Setapak jadi bawa pulang ke rumah.

"Bagaimanapun, seekor lagi kucing hanya bertahan tak sampai dua minggu sebelum mati dan akhirnya tinggal Jibek saja bersama saya hingga kini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Disebabkan gemarkan aktiviti mendaki, Azhan membawa Jibek kerana enggan berenggang dan meninggalkan haiwan kesayangannya itu sendirian di rumah.

Katanya, Jibek mula dibawa mendaki sejak berumur enam bulan dengan Gunung Nuang menjadi puncak pertama yang ditawan.

"Waktu mendaki, saya akan letakkan Jibek di dalam beg dan ketika kali pertama dulu, Jibek kelihatan takut malah agak bising mungkin kerana rimas duduk lama dalam beg.

"Lagipun, Jibek kucing rumah namun selepas kerap membawanya sertai pendakian, Jibek jadi biasa.

"Bagaimanapun, saya tak ambil mudah kerana bawa makanan kucing dan makanan tambahan untuk tenaga serta staminanya," katanya.

Menurut Azhan, terlalu banyak kenangan dengan Jibek terutama sepanjang mendaki bersama haiwan peliharaannya itu

Paling tidak dapat dilupakannya adalah ketika Jibek hampir terjatuh di dalam gaung dekat Gunung Yong Yap, Perak.

"Seingat saya kejadian itu berlaku pada 2019 dan Jibek di luar, bukan dalam beg. Waktu itu kamu seperti 'diganggu' dan Jibek nampak 'benda' itu dan nak kejar sebelum tergelincir.

"Mujurlah Jibek tersangkut di rumpun buluh, jika tidak sudah terjatuh dalam gaung yang memang curam," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Azhan berkata, niatnya memuat naik vhdeo di TikTok sekadar untuk berkongsi kenangan dan menyimpan memori bersama Jibek.

"Saja nak kongsi pengalaman sebenarnya kerana jarang ada orang lain bawa kucing mendaki terutama ke gunung yang tinggi dan hard core sedangkan Jibek sudah 'khatam' tujuh gunung di Semenanjung Malaysia.

"Alhamdulillah, majoriti pengikut dan netizen beri komen positif namun ada juga yang negatif persoalkan mengapa saya sanggup susahkan diri bawa kucing bersama.

"Saya terima saja semua komen dengan lapang dada. Ada tiga perancangan untuk Jibek, yang pertama membawanya mendaki di Indonesia, kedua adalah cuba dapatkan kebenaran bawa Jibek mendaki Gunung Kinabalu di Sabah dan ketiga cari peluang untuknya muncul dalam program pelancongan seperti di kaca televisyen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 6:37 PM